Kenyataan Akhbar

Kerajaan perlu tubuh lebih banyak pusat kuarantin swasta untuk pekerja asing – Teresa Kok

Oleh Aziera NH

Kerajaan diseru memberi insentif dan bekerjasama dengan pihak swasta untuk menubuhkan lebih pusat kuarantin swasta bagi beribu-ribu pekerja asing dan golongan B40 yang dijangkiti Covid-19.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, walaupun kes pesakit Covid-19 yang serius telah menurun kerana ramai telah divaksinasi, tetapi negara masih menghadapi 20,000 kes Covid-19 yang baru dan 300 pesakit yang mati secara purata harian hampir dua bulan sehingga hari ini.

Katanya memetik laporan Bernama, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu seramai 53,571 orang pekerja industri telah dikenal pasti positif Covid-19 sejak Julai lalu. 

“Ramai pekerja yang dijangkiti Covid-19 di sektor perkilangan dan sektor pembinaan tersebut adalah pekerja asing yang duduk bersama dengan rakan sekerja mereka di rumah yang sesak. 

“Keadaan ini telah menyumbang kepada pertambahan kluster Covid-19 di beberapa tempat di Lembah Klang, ia juga menyebabkan kes Covid-19 di Negeri Selangor dan Kuala Lumpur selalu berada di tahap tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Oleh itu, Teresa mencadangkan agar pihak kerajaan bekerjasama dengan pihak swasta untuk menubuhkan pusat kuarantin swasta, seperti Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Swasta (PKRCS) yang dioperasi oleh CREST Malaysia di Travelodge City Centre di Jalan Hang Kasturi di Kuala Lumpur.

“PKRCS memberi penginapan percuma kepada pesakit Covid-19 yang papa miskin adalah initiatif yang amat baik yang harus dicontohi oleh banyak pihak.

“Saya ingin cadangkan Kerajaan bekerjasama dengan kerajaan negeri, NGO ataupun Persatuan Pengilangan dan Persatuan Perniagaan tempatan untuk mencari tapak untuk menubuhkan pusat kuarantin swasta yang sementara,” ujarnya.

Tambahnya, pusat kuarantin ini boleh diwujudkan di ruang kilang yang kosong yang tidak beroperasi, hotel bajet yang tutup kerana tiada bisnes, bangunan komersial yang kosong, malah dewan orang ramai, bergantung kepada keadaan tempatan. – Roketkini.com