Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Keputusan buka semula sekolah di Sabah adalah tidak bijak – Vivian Wong

Oleh Ghafar NS

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak sepatutnya tampil dengan pendekatan ‘one-size fits all’ dalam isu pembukaan semula sekolah.

Menurutnya, Sabah mempunyai rekod lebih daripada 2,000 kes harian Covid-19 bagi tempoh 18 hari berturut-turut, malah penggunaan katil di hospital-hospital besar di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau telah melebihi had 100 peratus, dengan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) juga telah memenuhi katil-katil lebih daripada 150 peratus kini!

“Apa yang membuatkan Menteri Pendidikan dengan yakin mahu menghantar semula anak-anak kita kembali semula ke sekolah pada 3 Oktober di Sabah?

Bolehkan beliau memberi jaminan tentang kesihatan dan keselamatan anak-anak pelajar, sedangkan situasi kes Covid-19 di Sabah masih belum terkawal?” Soal Vivian.

Tambahnya lagi, pelaksanaan ujian Covid-19 di Sabah juga masih kurang dan tidak mustahil banyak kes Covid-19 masih bertaburan tanpa dikesan, yang mungkin menyebabkan penyebaran skala besar dalam kalangan masyarakat.

“Keputusan Menteri Pendidikan untuk membuka semula sekolah di Sabah tanpa membuat penilaian situasi sebenar di negeri ini adalah jelas tidak bertanggungjawab dan kurang bijak.

“Keputusan melulu ini perlu dihentikan dan dikaji semula demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua anak-anak di Sabah.” – Roketkini.com