Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Lelaki dan wanita harus bersama menentang misogini – Syerleena

Kenyataan media Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan DAP Wanita, juga ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid pada 6 September 2021

Saban hari ini, misogini dalam kalangan rakyat di Malaysia semakin bertambah buruk. Lebih menyedihkan, apabila hakikat ini tidak diambil peduli oleh Menteri dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita yang seharusnya bersuara dan mempertahankan kaum wanita di Malaysia agar misogini dalam kalangan rakyat dihapuskan sama sekali. Malangnya, tindakan Menteri dan timbalannya lebih mahu bermain politik dalam isu-isu yang hanya berkepentingan untuk mereka sahaja.

Hakikatnya hari ini, kaum wanita masih diketepikan pencapaian mereka dan suara kami seolah didiamkan dengan ancaman berbau seksual dan keselamatan kami juga terancam.

Hal ini juga terjadi kepada salah seorang aktivis alam sekitar, Shakila Zen, ketika beliau hanya meluahkan pandangannya terhadap perhimpunan #Lawan yang dianjurkan baru-baru ini, beliau telah mendapat tentangan yang negatif yang rata-rata menjijikkan dan tidak berasas.

Lebih parah lagi apabila beliau telah menerima surat layang dan bungkusan berisikan replika tangan putus dan berdarah dari individu tidak dikenali ini menunjukkan bagaimana sikap segelintir masyarakat Malaysia yang tidak matang dan misogini dengan melakukan aktiviti yang memalukan ini. Sayangnya, tindakan seperti ini semakin menjadi-jadi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Apabila kaum wanita memberikan pandangan mereka terhadap sesuatu isu yang bertentangan dengan “norma” masyarakat kebiasaan maka akan ada ancaman-ancaman serta tindakan keji yang mereka terima.

Poster daripada Sekretariat Solidariti Rakyat

Apa yang memeranjatkan, serangan serta tindakan keji ini sering menjurus kepada kaum wanita tidak pula mereka melakukan tindakan yang sama terhadap sahabat lelaki yang lain.

Komen serta serangan seperti ini sering bersifat peribadi dan mengandungi mesej berbau seksual contohnya cabul yang sengaja dibuat untuk menimbulkan keraguan mengenai kecekapan dan kepekaan masyarakat sosial. Tindakan yang bermain dengan psikologi berdasarkan kata-kata dan emosi sengaja dibuat untuk membiarkan kaum wanita terus dibelengu kerisauan kerana bakal terdedah dengan ancaman seperti ini.  Walaupun misogini masih berleluasa dalam kalangan masyarakat kita, namun apa yang sedang kaum wanita hadapi ini adalah endemik sosial yang harus kita banteras habis-habisan.

Kita tidak lagi boleh berdiam diri dan menutup mata dengan membiarkan budaya dan sikap tidak ambil peduli mengenai isu ini dalam kalangan rakyat menebal. Hakikatnya, perlu ada desakan perubahan dalam iklim politik untuk memberi peluang kepada kaum wanita memastikan bahawa gangguan seksual dan misogini tidak lagi mempunyai tempat dalam masyarakat kita hari ini.

Walau bagaimanapun, melihat pada hakikat betapa dalamnya diskriminasi sosial yang sedang kita hadapi, masa depan kita adalah terletak pada para pembuat dasar sama ada mereka mahu berdiri dan menghentikan gangguan seksual ini atau tidak.

Kedua-dua pihak lelaki dan wanita yang memahami bahayanya diskriminasi dan nilai buruk misogini ini harus bersama antara satu sama lain. Keengganan untuk melawan dan menghapuskan ketakutan dalam isu ini akan memberikan ancaman yang lebih besar dan boleh menggugat perpaduan negara kita.

Buat Shakila dan wanita lain yang mengalami nasib yang serupa, saya ingin menegaskan bahawa berdiam diri hanya akan membiarkan tanggapan tanda penerimaan dalam diskriminasi ini. Dan sebagai wanita di Malaysia, saya tidak mahu untuk terlibat dalam sebuah sistem yang membiarkan misogini berleluasa. Ketahuilah bahawa anda semua tidak bersendirian dalam melawan isu ketaksuban gender ini. Hanya dengan semangat bersama antara satu sama lain dapat kita memerangi ketaksuban misogini yang semakin parah dalam kalangan rakyat hari ini.