Berita

Wujudkan satu enakmen halang ADUN lompat parti di Negeri Sembilan

Satu enakmen bagi menghalang Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada melompat parti perlu diwujudkan di peringkat kerajaan Negeri Sembilan.

ADUN Chennah, Anthony Loke Siew Fook berkata, di peringkat kerajaan Persekutuan, kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang dilihat bersetuju untuk mewujudkan akta berkaitan antilompat parti.

Sehubungan itu, jelas beliau, sekiranya perkara itu mendapat sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen dan selepas Perlembagaan Persekutuan dipinda, Negeri Sembilan juga perlu mengambil langkah segera untuk mewujudkan enakmen mengenainya.

“Setiap ahli politik, perlu ada prinsip taat kepada parti kerana tanpa parti kita tidak boleh menang. Sudah sampai masanya negara perlu ada satu undang-undang yang melarang wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya, selepas itu lompat.

“Di peringkat Persekutuan kita sedang membahaskan dan nampaknya kerajaan dan pembangkang bersetuju bahawa perlu ada satunya Akta Antilompat Parti. Ini memerlukan sokongan semua pihak kerana ia perlu majoriti dua pertiga di Parlimen untuk pindaan Perlembagaan .

“Saya harap sekiranya ini berjaya dilaksanakan di Parlimen, kerajaan negeri juga perlu mengambil inisiatif dengan segera untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan juga melarang sebarang perkara berkaitan lompat parti di dalam Negeri Sembilan dan perlunya enakmen untuk melarang ADUN yang menang daripada lompat parti,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Anthony berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada hari pertama Persidangan Pertama, Penggal Keempat, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 semalam. – Roketkini.com