Isu Semasa

Adakah menjalankan tugas sebagai Ahli PAC telah menjadi kesalahan bagi pihak PDRM? – Shu Qi

Kenyataan Media oleh Wong Shu Qi, Ahli Parlimen Kluang pada 6hb September 2021 (Isnin) di Kluang: 

Saya terkejut menerima notis daripada pihak polis pada hari ini berkenaan satu dakwaan kononnya terlibat dalam sebuah perhimpunan walaupun saya langsung tidak berada di lokasi yang didakwa berlangsungnya perhimpunan tersebut ataupun terlibat dalam apa-apa perhimpunan.

Pada 2 Ogos 2021, tarikh perhimpunan tersebut, saya sememangnya berada di Parlimen untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). 

Mesej yang saya terima pada pagi ini adalah seperti berikut: 

Mohon kerjasama YB untuk hadir ke IPD Dang Wangi untuk dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah serta diserahkan Tawaran Mengkompaun bagi kesalahan menyertai/berada dalam perhimpunan yang diadakan di Dataran Merdeka pada 02/08/2021 mengikut ketetapan berikut:

Tarikh: 08 Sept 2021

Masa: 1000 Hrs

Tempat: Tingkat 10 IPD Dang Wangi

Sebenarnya, saya telah disekat oleh pihak polis apabila saya tiba di lingkaran Jalan Tuanku Abdul Halim menuju ke Jalan Parlimen. Selepas menunjukkan surat rasmi PAC untuk menghadiri mesyuarat pada hari tersebut, anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya tersebut telah meminta saya untuk mengambil jalan alternatif untuk masuk ke Parlimen. 

Akhirnya, saya dibenarkan untuk masuk melalui sekatan jalan raya di Lebuhraya Sultan Iskandar pada pukul 9.55 pagi selepas arahan dikeluarkan oleh pihak PAC kepada polis. 

Justeru, pihak polis jelas telah dimaklumkan senarai Ahli PAC yang perlu hadir di Parlimen pada hari tersebut untuk menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen dan Ahli PAC. Pihak Parlimen juga telah memuatnaik semua gambar prosiding PAC pada 2 Ogos 2021 di laman web rasmi.

Namun, amat mengecewakan sekali apabila saya masih diberi notis oleh polis seolah-olahnya ada pihak tertentu telah memberi kenyataan palsu kononnya saya terlibat dalam perhimpunan di Dataran Merdeka. 

Adakah saya kini mempunyai ilmu “kagebunsin no jutsu” dari Naruto untuk mengklon diri saya berada di beberapa tempat pada masa yang sama?

Sebagai seorang Ahli Parlimen yang menjalankan tanggungjawab saya, saya berasa amat kecewa dan keliru dengan siasatan polis dalam kes ini. Khususnya, pihak polis telah meminta saya hadir di IPD Dang Wangi bagi merakamkan percakapan serta menyerahkan tawaran mengkompaun kepada saya untuk satu ’kesalahan’ yang saya tidak lakukan merupakan satu dakwaan terhadap saya yang langsung tidak masuk akal. 

Wong Shu Qi