Berita

Kerajaan-PH tanda tangan MoU esok

Setelah mengadakan beberapa pusingan rundingan, wakil-wakil pihak kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) hari ini telah memuktamadkan sebuah memorandum persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Persekutuan dan PH.

Dalam satu kenyataan bersama, wakil-wakil kerajaan dan PH memberitahu, semua pihak telah bersetuju bahawa MoU itu adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara. 

Menurutnya, ini demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pedekatan kerjasama secara ‘dwi-partisan’. 

“Dengan persefahaman ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tatakelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya memorandum persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawapan. 

Sesuai dengan semangat itu dan komitmen untuk menterjemahkannya, tambahnya, maka kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani persefahaman ini pada hari esok, pukul 5 petang bertempat di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia. 

Ujarnya, majlis tanda tangan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua-Ketua parti PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden Parti Keadilan Rakyat), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik), Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara) dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu). – Roketkini.com