Kenyataan Akhbar

DAP Kedah cadang langkah lebih komprehensif bendung Covid-19

Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Khas Covid-19 DAP Negeri Kedah.

Kes kematian akibat Covid-19 di Kedah yang dilaporkan sejak kebelakangan ini amat mengerikan. Lebih membimbangkan lagi apabila kadar ‘brought in dead’ atau kematian di luar hospital untuk dua hari berturut-turut mencatatkan peratusan melebihi 65 peratus.

Secara keseluruhannya kes kematian di Kedah sehingga 11 September 2021 adalah berjumlah 1,280 kes atau pada kadar 1.1 peratus. Untuk tempoh 11 hari sahaja, sejumlah 385 kes kematian telah dilaporkan.

Situasi ini terjadi apabila pengurusan pandemik negeri masih terus bergantung pada strategi yang sama sejak awalnya, hingga menyebabkan situasi kalah-kalah dan menjejaskan kehidupan rakyat. 

Krisis kesihatan yang berpanjangan dan kesan-kesannya telah mencetuskan berbagai cabaran besar sehingga mendedahkan keretakan yang mendalam dalam sistem penjagaan kesihatan awam di negeri ini.

Kerajaan negeri sepertinya gagal memahami spektrum luas bidang yang perlu ditangani untuk berhadapan dengan cabaran besar itu. Sebaliknya mereka hanya bergantung terus kepada strategi tunggal ‘sekatan pergerakan dan vaksinasi’ tanpa berusaha menjayakannya.

Kami menjangkakan kadar jangkitan Covid-19 ini akan menjadi lebih terkawal sekiranya Kedah mencapai kadar imuniti kelompok 80 peratus yang disasarkan. Sehingga semalam, peratusan penduduk Kedah yang telah lengkap divaksin hanya 37.4 peratus berbanding 85.9 peratus yang mendaftar untuk menerima vaksin.

Justeru, DAP Kedah melalui pasukan pakar-pakar perubatannya telah menggariskan beberapa langkah dan strategi yang lebih komprehensif dalam usaha kita bersama membantu mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri Kedah yang tercinta ini. Kertas cadangan ini akan diserahkan terus kepada pihak pengurusan pandemik negeri dalam tempoh terdekat ini. 

Untuk rekod, pada pertengahan Jun 2021 yang lalu, DAP Kedah juga telah menggerakkan sukarelawannya ke seluruh pelususk negeri untuk membantu penduduk dan rakyat Kedah mendaftar sebagai penerima vaksin. Pada ketika itu kadar peratusan yang mendaftar masih terlalu rendah berbanding peratusan yang direkodkan sehingga semalam.