Kenyataan Akhbar

Johor wajar percepat pindaan undang-undang untuk Undi-18

Kenyataan media Sheikh Umar Bagharib Bin Ali, ADUN Paloh merangkap Naib Pengerusi DAP Johor.

1. Pada tahun 2019, Parlimen Malaysia telah meluluskan Rang Undang-undang bagi menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun bersama dengan pendaftaran warganegara secara automatik sejurus mereka mencapai umur 18 tahun. Pindaan ini sebagaimana maklum, lebih dikenali sebagai Undi18. 

2. Sehingga kini, terdapat tujuh buah negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Perlis, Terengganu, Sarawak, Kelantan, dan Perak yang telah meminda Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Negeri masing-masing bagi membolehkan Undi18 dilaksanakan bagi Dewan Undangan Negeri masing-masing.

3. Pada 3 September lalu juga, Mahkamah Tinggi Kuching telah memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang 31 Disember tahun ini.

4. Maka, DUN Johor harus mempercepatkan pindaan undang-undang ini bagi membolehkan tiga perkara asas kepada Undi18 ini dapat tercapai, iaitu:

4.1 – Hak mengundi kepada belia 18 tahun hingga 20 tahun. 

4.2 – Pendaftaran automatik sebagai pengundi atau Automatic Voter Registration (AVR)

4.3 – Umur calon pilihan raya Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun. 

5. Pada ketika ini, fasal 16 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor menyatakan kelayakan bagi seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri di negeri ini mestilah berumur dua puluh satu tahun atau lebih sahaja.

6. DUN Johor wajar mengambil langkah meminda hal ini agar sejajar dengan langkah persediaan perlaksanaan Undi18 di peringkat persekutuan. 

7. Masa yang terbaik untuk melakukan pindaan tersebut ialah pada Sidang Dewan Negeri Johor yang terhampir ini yang dijangka pada November 2021.