Kenyataan Akhbar

Ismail Sabri gagal dalam ujian 100 hari untuk mempertahankan konsep keluarga besar Malaysia 

Kenyataan media oleh Hannah Yeoh bertarikh 14 September 2021

Saya membaca dengan penuh rasa jijik akan keputusan Kerajaan Perikatan Nasional untuk mengemukakan rayuan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi minggu lepas berkenaan hak ibu mendapat kewarganegaraan untuk anak yang lahir di luar negara. Peguam Negara Idrus Harun memaklumkan kepada media bahawa notis rayuan telah dikemukakan. Menteri Undang-undang Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga turut menggambarkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut sebagai ‘memberi sinar’ yang menerangkan dengan jelas peruntukan dalam perlembagaan. 

Beberapa hari yang lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun secara terbuka mengalu-alukan keputusan mahkamah sebagai, ‘memberi sinar baharu kepada aspirasi kelestarian insaniah wanita nasional’. Beliau turut menambah bahawa keputusan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan mahu mewujudkan kesamarataan untuk golongan wanita. Oleh kerana keputusan Peguam Negara ini dilihat bertentangan dengan kenyataan Menteri Wanita, maka kita juga tertanya-tanya adakah ini sebuah Kerajaan yang berkepala dua atau satu lagi contoh kes Menteri Wanita yang tidak memahami tanggungjawabnya dalam memperjuangkan hak kesamarataan bagi golongan wanita?  

Saya menyeru Perdana Menteri supaya segera mengarahkan Peguam Negara untuk menarik balik keputusan mengemukakan rayuan serta memastikan Kementerian Dalam Negeri menghormati dan melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi. Episod ini sahaja sudah cukup menggambarkan terdapat begitu banyak keputusan yang tidak konsisten dalam kabinet beliau dan kelemahan yang paling ketara adalah kegagalan Kerajaan ini melindungi wanita dan kanak-kanak. Konsep keluarga besar Malaysia Perdana Menteri kini sedang diuji dan tercemar dengan keputusan yang tidak masuk akal dan kejam oleh Peguam Negara sehingga menimbulkan kesengsaraan dan kekecewaan kepada ramai ibu dan keluarga mereka. Ini adalah ujian 100 hari Ismail Sabri bagi membuktikan bahawa beliau mampu untuk menjinakkan Kerajaan pelbagai kepala dan membawa kelegaan kepada para ibu dan anak-anak mereka yang menderita.