Uncategorized

Keraguan besar timbul apabila Muhyiddin menerajui MPN – Kit Siang 

Oleh Aziera NH 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, beliau mempunyai keraguan besar berkenaan Muhyiddin Yassin menerajui Majlis Pemulihan Negara (MPN). 

Jelas Kit Siang, hal ini demikian kerana memandangkan bekas perdana menteri itu adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan kekalahan kita dalam perang melawan wabak Covid-19. 

“Semasa Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-63 pada 31 Ogos 2020, kita berada di tempat ke-89 dari segi jumlah kes terkumpul berbanding negara lain di dunia.

“Sekiranya ada sekurang-kurangnya satu individu yang perlu bertanggungjawab mengenai perkara ini, dengan Malaysia menjadi antara negara yang mencatatkan prestasi terburuk di dunia dalam melawan Covid-19, individu tersebut adalah Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Muhyiddin dalam satu wawancara baru-baru telah menjelaskan bahawa beliau telah diberikan kuasa yang sama seperti semasa beliau menjadi Perdana Menteri untuk membuat keputusan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) kecuali apabila ia melibatkan wang. 

“Kita sekarang dimaklumkan bahawa di bawah pentadbiran Muhyiddin, terdapat kejadian kurang lapor kematian akibat Covid-19 dan terdapat kes terkumpul (backlog) jenazah di hospital kerajaan yang menanti untuk dianalisis dan (bedah siasat),” ujarnya. 

Veteran DAP itu juga menyeru agar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan situasi kes terkumpul kematian di hospital seperti yang didakwa.

“Saya telah meminta menteri kesihatan yang baharu, Khairy Jamaluddin, untuk membuat kenyataan menteri di Parlimen mengenai kedudukan sebenar kadar kematian akibat Covid-19 dan kematian sebelum tiba ke hospital (BID) tetapi seruan itu tidak diendahkan.

“Mengapa Khairy enggan memberikan penjelasan penuh mengenai kedudukan sebenar kematian akibat Covid-19 di negara kita ini?” soalnya. – Roketkini.com