Uncategorized

Kenyataan mengelirukan: Timbalan Menteri Kesihatan 1 perlu minta maaf

Kenyataan Heng Lee Lee, ADUN Berapit, Pulau Pinang pada 23 September 2021

Timbalan Menteri Kesihatan Dato’ Noor Azmi perlu meminta maaf kepada masyarakat mengenai kenyataannya yang mengelirukan berkaitan vaksinasi kepada remaja berusia 16 dan 17 tahun.

Bermula 22 September, negara kita mula memberikan vaksinasi kepada remaja berusia 16 hingga 17 tahun. Menurut surat khabar pada 21 September, kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan 1 menyatakan bahawa semua 156 PPV di seluruh negara dibuka secara “walk in”. Akibatnya ini telah menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM), terdapat kira-kira 2.83 juta orang berusia 15 hingga 19 tahun, dan rata-rata jumlah remaja berusia 16 hingga 17 tahun 1.13 juta orang. Jika dilihat pada jumlah berkenaan, 156 PPV yang disediakan akan menerima 7200 orang.

Vaksin mempunyai masalah dari segi penyimpanan, jadi setiap PPV mempunyai jumlah vaksin yang diperuntukkan setiap hari. Jika terlalu ramai yang datang secara “walk in” di PPV tertentu pada hari yang sama, ia tidak akan dapat menampungnya.

Kerajaan Persekutuan selalu mengingatkan untuk sentiasa menjaga SOP dan tidak membenarkan untuk berkumpul. Remaja berusia antara 16 hingga 17 tahun perlu ditemani oleh ibu atau bapa atau penjaga ketika hadir ke PPV. Sekiranya 10% dari 7200 orang hadir ke PPV pada hari yang sama ianya akan menjadikan 1400 orang (remaja dan ibu atau bapa) yang akan beratur dan ini akan menyebabkan ramai orang berkumpul.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan pada 21 September bahawa remaja yang berumur 16 dan 17 tahun perlu menunggu temujanji vaksinasi mereka melalui MySejahtera. Melalui laman Facebook, saya juga telah mengingatkan tiada vaksinasi secara “walk in” untuk remaja berumur 16 dan 17 tahun. Tetapi mesej dari timbalan menteri telah mengelirukan dan menyebabkan ramai orang yang datang ke PPV secara “walk in” pada keesokkan harinya dan mereka tidak dibenarkan masuk. 

Hari ini, Dato’ Noor Azmi pula mengeluarkan kenyataan “u-turn” memaklumkan vaksinasi secara “walk in” tidak dibenarkan. Ramai ibu bapa yang telah mengambil cuti, membazirkan masa dan kos minyak dan menyebabkan mereka terdedah dengan risiko jangkitan memandangkan terpaksa berkumpul.

Saya meminta Timbalan Menteri Kesihatan 1 untuk meminta maaf kepada masyarakat. Negara kita bukan hari pertama menjalankan program vaksinasi. Sekiranya Timbalan Menteri tidak memahami prosedur vaksinasi, boleh bertanya soalan kepada pakar yang ada di dalam jabatan Kementerian Kesihatan. Keselamatan orang awam perlu diutamakan dan jangan jadikan kenyataan “u-turn” sebagai kebiasaan.