Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menyeru kerajaan agar mencari alternatif kepada aplikasi MySejahtera bagi membantu golongan yang tidak memiliki telefon pintar termasuk warga emas dan mereka yang berpendapatan rendah.
Beliau berkata, ramai warga emas meskipun sudah lengkap dua dos vaksin, telah dihalang untuk memasuki premis seperti pasar raya, kedai serbaneka dan lain-lain premis kedai runcit kerana tidak mempunyai telefon pintar yang boleh memuatnaik aplikasi MySejahtera.
Menurut beliau, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) semasa, sesiapa yang hendak memasuki premis-premis tersebut perlu mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan menunjukkan risiko Covid-19 serta status vaksinasi sebelum dibenarkan masuk.
Tambahnya. kebanyakan daripada golongan itu mendaftar vaksinasi menerusi sistem tanggungan mereka iaitu dari telefon pintar anak atau cucu, sementara mereka sendiri masih menggunakan telefon lama tanpa ada fungsi internet.
“Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan untuk merancang dan tampil dengan alternatif yang memungkinkan golongan masyarakat ini hidup dalam keadaan normal walaupun tanpa memiliki telefon pintar.
“Ini mungkin dapat dibuat dalam bentuk rantai kunci seperti token digital bagi pengesahan status vaksinasi mereka yang mana ia juga mudah dibawa dan senang dimasukkan ke dalam poket yang memungkinkan seseorang mengimbas atau mendaftar masuk sebelum memasuki mana-mana kedai.
“Dengan kemajuan teknologi semasa, saya pasti kita dapat memberikan alternatif untuk kumpulan golongan ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam hal yang sama, jelas Vivian, banyak keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) tidak mampu menyediakan telefon pintar untuk semua ahli keluarga mereka.
Akibatnya, tambah beliau, ahli keluarga yang tidak mempunyai telefon pintar dengan aplikasi MySejahtera juga berhadapan isu sama dengan warga emas.
“Adalah sangat tidak adil untuk memberitahu kepada golongan ini bahawa mereka tidak boleh pergi ke mana-mana hanya kerana mereka tidak mempunyai telefon pintar yang boleh memuat naik aplikasi MySejahtera.
“Adalah tidak mudah untuk seseorang berusia 70 atau 80 tahun untuk menggantikan telefon lama yang mereka biasa gunakan kepada jenama telefon pintar yang baharu.
“Dan dalam hal yang sama, juga tidak adil untuk memaksa keluarga yang berpendapatan rendah untuk mempunyai telefon pintar bagi setiap dari ahli keluarga mereka semata-mata hanya untuk mempunyai aplikasi MySejahtera. Beban kewangan sudah pasti akan bertambah dan dipikul,” katanya. – Roketkini.com