Oleh Ghafar NS
Penyelaras DAP kawasan Layang-Layang, Marina Ibrahim menyatakan rasa gembira apabila program yang dilaksanakan pusat komuniti yang baru dibuka di kawasan ini mendapat sambutan menggalakkan oleh masyarakat setempat.
Pusat Komuniti Layang-Layang kini telah genap 10 hari menjadi pusat sehenti bagi merancang, menjalankan program dan aktiviti melibatkan penduduk di sini, sejak dilancarkan pada Hari Malaysia, 16 September lalu.
Pada 26 September 2021, Marina telah mengedarkan sejumlah 47 bakul makanan kepada keluarga-keluarga di Kampung Sri Pekan yang terletak di hujung DUN Layang-Layang.
“Alhamdulillah, sambutan program ini amat menggalakkan dan saya sangat gembira dapat bertemu para penduduk kampung di sini,” kata Marina.
Menurutnya juga, ada yang sudahpun mengenalinya ketika edaran dibuat.
Namun, katanya ada juga yang pertama kali bersua muka, jadi Marina mengambil kesempatan berbual dan saling berkenalan.
Program tersebut turut disertai Adun Paloh, Sheikh Omar Ali dan para sukarelawan yang bersama membantu mengedarkan sumbangan pada keluarga memerlukan di kampung yang bersempadan dengan Parlimen Bandar Tenggara.
Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Adun Paloh Sheikh Omar dan Adun Senai Alan Tee Boon Tsong antara yang bersama menjayakan pembukaan rasmi pusat komuniti ini.
Pada hari tersebut, 500 bungkus sayur-sayuran telah diedarkan kepada penduduk Layang-Layang dan Marina yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Publisiti DAP Johor bertekad akan merancang lebih banyak program serta aktiviti yang memberi manfaat kepada semua penduduk kawasan Layang-Layang, tanpa mengira perbezaan kaum. – Roketkini.com