Uncategorized

Usaha PH berjaya perkukuh kewangan PR1MA

Usaha Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Transformation Blueprint 2018- 2020 dan Pelan Rasionalisasi PR1MA pada akhir tahun 2018 telah berjaya memperkukuhkan kewangan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, Pelan Rasionalisasi Projek PR1MA di bawah Transformation Blueprint 2018-2020 yang dilaksanakan pada tahun 2019 telah mengurangkan pendedahan kewangan kos pembangunan kasar daripada RM23 bilion kepada RM14 bilion.

Selain itu tambahnya, ia juga mengurangkan pergantungan kepada geran kerajaan.

“Usaha Kerajaan dalam melaksanakan Transformation Blueprint 2018-2020 dan Pelan Rasionalisasi PR1MA mulai hujung tahun 2018 harus dipuji. Ini telah berjaya membantu dalam penjualan unit-unit PR1MA dan ia tidak lagi bergantung kepada Geran Pembangunan daripada kerajaan untuk beroperasi.

“Hasil daripada itu, pada tahun 2020 dan 2021, kerajaan telah mencapai penjimatan Geran Pembangunan kepada PR1MA yang puratanya pada RM735 juta setahun,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Kah Woh menambah, Transformation Blueprint 2018-2020 merupakan satu contoh bagaimana suatu hala tuju baharu yang baik daripada kerajaan dapat mengoptimumkan pelaksanaan projek dengan peruntukan yang terhad. – Roketkini.com

Baca kenyataan penuh Kah Woh.