Berita

Politik Melaka: Yang Dipertua sepatutnya bertemu dulu 15 DUN

Pakatan Harapan (PH) berpendirian, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan nasihat yang salah daripada seorang Ketua Menteri yang telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH memberitahu, apabila empat ADUN menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali pada Isnin lalu dan berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, beliau telah hilang jawatan dan kelayakan untuk menasihati Yang Dipertua Negeri.

Jelas kenyataan itu, Yang Dipertua Negeri sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka serta bertemu dengan 15 ADUN iaitu pihak yang telah memperoleh majoriti sebelum membuat sebarang keputusan.

“Malangnya tindakan Yang Dipertua Negeri ini bukan sahaja telah melanggar duluan (precedent) bagi Melaka itu sendiri di mana pada 2020 nasihat Ketua Menteri ketika itu, Adly Zahari untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti.

“Malah ia juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin lawan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN,” kata kenyataan itu semalam.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menjelaskan, Majlis Presiden turut berasa kesal kerana tindakan pembubaran DUN Melaka ini telah membuka laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan yang boleh mengancam nyawa rakyat pada ketika pandemik Covid-19 belum lagi terkawal sepenuhnya.

Terdahulu, Majlis Presiden PH telah mengadakan mesyuarat hari ini untuk membincangkan keadaan politik semasa di Melaka termasuk pengumuman pembubaran DUN kelmarin. – Roketkini.com