Kenyataan Akhbar

Calon18: Penang Edition usaha siapkan calon ADUN muda Pulau Pinang

oleh Ghafar NS

Sebuah program yang memberi persediaan kepada anak-anak muda Pulau Pinang yang berminat untuk bertanding dalam pilihan raya iaitu, Calon18: Penang Edition telah dilancarkan oleh EXCO Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Soon Lip Chee dengan kerjasama UNDI18 dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

Program yang dianjurkan oleh UNDI18 ini bertujuan untuk melengkapkan 120 anak muda Pulau Pinang, yang kini layak bertanding dalam pilihan raya negeri Pulau Pinang, dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk pencalonan.

Program dua bulan ini terdiri daripada tujuh bengkel dengan topik-topik seperti Pembiayaan Politik, Pengumpulan Dana serta Prosedur Parlimen dan dikendalikan oleh pakar-pakar berkaitan.

“Program ini adalah persediaan buat anak-anak muda Pulau Pinang untuk bersiap secara praktikal bagi bertanding sebagai calon.

“Semoga mereka mendapat manfaat dan mainkan peranan bersama membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas, adil dan maju.” Kata EXCO Beliau dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee.

Tharma Pillai, Pengasas Bersama UNDI18, menyatakan dalam ucapannya semasa sidang media pelancaran program Calon18: Penang Edition bahawa, “Ini adalah usaha kita untuk membina pelapis pimpinan anak muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan negeri Pulau Pinang. Selari dengan semangat UNDI18, suara anak muda harus didengari.”

Program ini menjadi titik permulaan bagi membina para belia Pulau Pinang yang bertekad menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang kompeten, di samping menggalakkan kerjasama dengan kerajaan negeri lain dalam melaksanakan program Calon18 ini.

Permohonan boleh dibuat kini di : tinyurl.com/calon18apply

(tutup pada 11.59 malam pada hari Ahad, 17 Oktober 2021).