Uncategorized

DAP prihatin sinari sambutan Deepavali 2021

Oleh Ghafar NS

Menjelang sambutan Deepavali yang bakal tiba pada Khamis, 4 November 2021 ini, wakil-wakil rakyat DAP giat menyampaikan bantuan dan keperluan kepada masyarakat beragama Hindu di seluruh negara, tanda kepedulian akan kekurangan yang menimpa sesetengah individu atau masyarakat.

Antara usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, Arul Kumar Jambunathan adalah dengan menyediakan baucar pembelian barangan keperluan sempena sambutan Deepavali bagi keluarga berpendapatan rendah.

Sebanyak 550 buah keluarga telah menerima baucer Deepavali bernilai RM100, yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Nilai dan Dewan Orang Ramai Kg. Baru Mantin pada 30 Oktober lalu.

Menurut Arul, disebabkan beliau tidak akan mengadakan sebarang Majlis Rumah Terbuka Deepavali tahun ini, sebagai langkah berjaga-jaga membendung penularan Covid-19, ia digantikan dengan penyampaian baucer Deepavali kepada keluarga-keluarga memerlukan di DUN Nilai.

Terdapat beberapa program penyerahan sumbangan lain yang turut dilaksanakannya.

Antaranya, menyampaikan kotak makanan MITRA kepada 200 keluarga di kawasan Mantin yang diterima melalui Kementerian Perpaduan Negara, aktif mempromosi Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2021 dan menyampaikan 300 kotak makanan daripada Kementerian Perpaduan Negara kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai yang memerlukan.

Pada 31 Oktober, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago pula telah mengedarkan 350 bakul makanan sempena sambutan Deepavali, kepada wakil-wakil penduduk dan individu golongan B40 yang memerlukan di Parlimennya.

“Semoga dengan bantuan ini akan memberi keceriaan dan mengurangkan beban bagi persediaan sambutan tahun ini,” katanya.

Selain itu, penyandang ADUN Gadek, G. Saminathan sungguhpun bukan lagi wakil rakyat di kawasan tersebut turut menyampaikan sedikit buah tangan pada penduduk beragama Hindu di kawasannya berupa kad ucapan, pelitup muka dan cahaya pelita.

Di DUN Teratai, satu majlis penyerahan sumbangan bahan-bahan membuat kuih Deepavali diadakan, disempurnakan oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan sumbangan dibuat oleh penyelaras DUN Teratai, Ng Sze Han yang juga merupakan EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Ramai lagi wakil-wakil rakyat DAP yang turun menyantuni masyarakat India di kawasan masing-masing dan tak lupa menghulurkan bantuan pada isi rumah atau individu memerlukan, seperti ADUN Ketari, Young Syefura Othman, ADUN Paloh, Sheikh Omar Ali dan ramai lagi. – Roketkini.com