Rencana

Melawan Pandemik Rasuah

Lingkaran, sebuah karya daripada Sasterawan Negara (SN), Arena Wati telah mengetengahkan isu-isu ketirisan, salah guna kuasa dan rasuah berlatar belakangkan era pasca merdeka di Tanah Melayu. Ia memberi gambaran bagaimana sebuah negara yang telah bebas daripada cengkaman penjajah, masih bergelut dengan isu tidak bermaruah sehingga merencatkan kemajuan rakyat dan negara.

Dengan mengetengahkan watak Ramli, seorang penjawat awam dan pegawai kanan menteri yang terpalit dengan isu rasuah, SN Arena Wati mendedahkan satu persatu bagaimana jenayah rasuah ini berlaku dalam masyarakat. Ramli yang termakan pujuk rayu Foo Seng Kow dan Arumugam, kedua-duanya kontraktor perumahan yang mahu mendapat tender kerajaan dengan cara mudah serta tidak telus, telah membawa dirinya ke lembah kegagalan.

Ramli telah disediakan habuan yang besar seperti wang ringgit, komisen, kereta mewah, rumah agam, wanita liburan dan arak atas kerjasama membantu rakan-rakan kontraktor mendapat projek kerajaan. Bahkan, keluarganya tanpa sedar tenggelam dalam menikmati kemewahan hidup hasil kerja rasuah Ramli.

Namun, semua ini berakhir apabila langkah Ramli ini dipatahkan oleh pihak berkuasa yang mengetahui kegiatan rasuahnya. Keluarga Ramli rasa malu, khususnya anak-anaknya, selepas bapa mereka dicekup polis akibat rasuah.

Di dalam bab akhir Lingkaran, Arena Wati meninggalkan satu potong ayat:

“Aku tak dapat menamatkan ceritamu, kerana apa yang aku tahu dan itu jadi alasanku yang terkuat, bahawa di negara kita ini tidak ada penangkapan rasuah dalam kalangan pegawai tinggi kita. Ini memperlihatkan kepada dunia bahawa semuanya berjalan licin, dan rakyat puas hati”.

Meskipun ungkapan ini hanyalah satu monolog, SN Arena Wati cuba meninggalkan pesan kepada generasi hari ini bahawa isu melawan rasuah adalah satu pertarungan yang mencabar dan berlarutan kerana sistem penguatkuasaan serta keadilan di Malaysia ‘tumpul’ untuk menangkap ‘ikan paus’, yakni mereka berkedudukan yang telah melakukan rasuah dan ketirisan.

Perasuah Bebas Dan Tidak Malu?

Nampaknya, bacaan SN Arena Wati mengenai barah rasuah yang berlaku di negara kita agak tajam sekali. Setelah lebih enam dekad kita merdeka, isu-isu rasuah dan tidak berintegriti ini masih lagi berlaku dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan kayangan. Ia seolah-olah memperlihatkan Malaysia tidak pernah belajar untuk mengatasi rasuah bagi membina negara yang saksama buat semua lapisan rakyat.

Akibat rasuah ini juga, Malaysia pernah digelar satu dunia sebagai negara Kleptokrasi akibat Skandal 1MDB yang dilakukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN). Ironinya, walaupun kerajaan BN dan Najib Razak tumbang dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana ditolak rakyat, aktor-aktor Kleptokrat ini tidak pernah serik dengan rasuah yang dilakukan.

Meskipun mahkamah telah sabitkan Najib Razak bersalah kerana rasuah, pengubahan wang haram serta salah guna kuasa atas kes SRC yang bernilai RM42 juta dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan denda sebanyak RM210 juta, beliau tidak pernah rasa bersalah dan malu atas jenayah rasuah yang dilakukan. Ada pihak yang terpaut dengan sentimen dan balas budi BN dan Najib, tidak rasa segan untuk menjemput Najib Razak ke Putrajaya semula.

Adakah sistem keadilan negara kita kini berada dalam ‘Dua Darjat’ dengan memberi kemudahan kepada perasuah Ikan Paus ini  hidup ‘bebas’? Apakah nilai masyarakat kita sudah terhakis dan tidak berani melawan jenayah rasuah?

Pengkhianatan Dan Pandemik Rasuah

Rampasan kuasa Langkah Sheraton yang mengkhianati mandat demokrasi rakyat pada tahun 2020 telah menjadi titik tolak kembalinya Kleptokrasi dan aktor-aktor rasuah di Malaysia.

Perbuatan khianat sebilangan besar pemimpin Melayu dan Islam, menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atas sentimen ‘supremacy’ kaum dan agama, mengambil kesempatan di atas kesempitan dan penat rakyat berdepan pandemik serta isu ekonomi, telah menyebabkan perasuah ini mempunyai kuasa rundingan untuk bebas dari pendakwaan.

Walaupun ada segelintir pihak melihat ‘Abah’ dan ‘Pak Long Mail’ berjaya mengatasi penularan Covid-19, hakikatnya kedua-dua mereka telah menjadi punca berlakunya ‘Pandemik Rasuah’ di Malaysia. Tidak hairanlah kerajaan PN sedia ada hari ini digelar rakyat sebagai #KerajaanGagal.

Sejak pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga Dato’ Seri Ismail Sabri, golongan perasuah ini langsung tidak mempunyai secebis rasa malu dan lagak mereka pula kian menjadi-jadi selepas dibebaskan.

Salah satu kes rasuah yang meragukan seperti yang melibatkan bekas Lembaga Pengarah Felda, Datuk Ehsanuddin yang juga bekas ahli parlimen Kota Tinggi, dibebaskan daripada 29 pertuduhan rasuah oleh Mahkamah Sesyen pada 1 Spetember 2021. Kes ini ditarik balik oleh Pendakwa Raya kerana Ehsamuddin telah membayar semula wang didakwa sebagai rasuah sebelum siasatan bermula bernilai hampiar RM80,000.

Meskipun pihak berkuasa mendakwa keputusan ini tidak bercanggah dengan undang-undang, tetapi ia telah mewujudkan sentimen kurang percaya rakyat terhadap sistem keadilan di Malaysia. Pandemik rasuah turut menyaksikan beberapa insiden di mana pihak kerajaan didakwa menggunakan badan penguatkuasa untuk memberi tekanan kepada musuh politik yang tidak mahu menyokong kerajaan.

Rakyat Tanggung Beban

Gejala rasuah dan ketirisan menjadi-jadi ketika pandemik. Kerakusan golongan tamak ini telah menyusahkan hidup rakyat. Contohnya, ketirisan RM20 juta dana Program Subsidi Upah (PSU). Bantuan yang sepatutnya menambah gaji pekerja untuk kekal bertahan ketika pandemik disalah gunakan oleh majikan untuk kepentingan diri tengah-tengah kesempitan pekerja.

Ketirisan ini telah memperjudikan hidup pekerjanya sendiri yang memerlukan pendapatan dan pekerjaan untuk menyediakan makan minum keluarga di rumah. Maka, pemikiran kolot yang mengatakan ketirisan dan rasuah tidak menjejaskan kehidupan rakyat adalah satu pemikiran cetek dan pentingkan diri.

Ini apa yang disebut oleh SN Arena Wati dalam Lingkaran:

“Kerana perbuatan membuat kesenangan untuk satu pihak saja selalu menimbulkan kerosakan dan kesusahan. Umpanya, seorang pencuri mendapat kesenangan kerana telah berjaya mencuri barang orang lain, tentu itu kesenangan satu pihak saja namanya, kerana orang yang empunya barang itu tentu bersusah hati pula”.

Hakikatnya, tanah air ini telah dibangunkan oleh rakyat dan pemimpin yang sanggup berkorban demi kemerdekaan dan kemajuan negara. Semua kudrat dan akal pemikiran digunakan bagi membangunkan negara tercinta ini. Apakah rasionalnya pengorbanan yang dibuat sekiranya perasuah dan segelintir pihak rakus menggunakan kemajuan yang ada untuk kepentingan mereka dan meruntuhkan integriti Malaysia?

Ini adalah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat akibat kerja-kerja pemimpin khianat yang memberi nyawa kepada perasuah untuk hidup semula. Rakyat berhak rasa kecewa dan perlu menolak aktor-aktor perasuah dan pihak yang rakus menjarah kekayaan yang sepatutnya dikongsi bersama.

Hari ini, puak pengkhianat dan Kleptokrasi berkumpul di Melaka, bercita-cita untuk berkuasa semula atas nama demokrasi yang mereka peralatkan. Soalnya, mampukah Melaka mencetuskan perubahan, membina jiwa bangsa Malaysia yang berani dan bermaruah?

Peluang yang datang ini adalah ruang untuk rakyat menolak perasuah dan pengkhianat. Tetapi, jika rakyat menjemput mereka berkuasa semula di Melaka, mungkin Malaysia terpaksa menempuh ranjau yang tidak berkesudahan. Dan, pandemik rasuah ini akan menjangkiti generasi masa depan negara.

Saya percaya rakyat Malaysia berjiwa besar untuk sama-sama mempertahankan negara daripada dinodai pengkhianat dan perasuah. Kita perlu perangi pandemik rasuah. Jangan jadikan ia sebagai ‘endemik rasuah’, iaitu penyakit yang perlu hidup dengan kita selama-lamanya.