Berita

Kesepakatan PH bina semula Melaka dan Malaysia dengan lebih baik

Oleh Roketkini

Kesepakatan Pakatan Harapan (PH) dalam penggunaan logo Harapan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan menghasilkan gabungan yang lebih mantap dan kukuh.

Dalam satu artikel tulisannya bertajuk ‘Maju Bersama Harapan’, Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, kesepakatan itu amat penting kerana ia akan memberi kesan positif menjangkaui PRN Melaka.

“Setelah bertegang urat buat seketika, keputusan ini mengakhiri teka-teki berhubung pendirian PH sejak kebelakangan ini. Keyakinan baharu ini akan menghasilkan gabungan yang lebih mantap dan kukuh.

“PH yang kini bersatu padu dengan satu logo di bawah pimpinan Adly Zahari yang telah berjaya menyelesaikan agihan kerusi, kini bersedia untuk berhadapan dengan lawannya – Barisan Nasional pimpinan UMNO dan Perikatan Nasional yang diterajui Bersatu serta PAS yang boleh sahaja ke sana dan ke sini di antara BN dan PN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Media melaporkan, Majlis Presiden PH sebulat suara bersetuju untuk menggunakan logo gabungan itu dalam PRN Melaka pada 20 November depan.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga akan menjadi ujian permulaan bagi penggunaan logo itu dalam pilihan raya gabungan parti berkenaan.

Mengulas lanjut, Chin Tong menjelaskan, PH menawarkan wawasan Malaysia yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai panduan untuk memimpin, menjaga dan mengambil berat keperluan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.

Tambahnya, ia tidak akan bermain dengan sentimen kaum serta amalan perkauman.

Beliau berkata, manakala BN dan PN serta PAS yang sering bermain dengan politik ketuanan kaum tidak akan mampu mengatasi masalah yang kita hadapi sekarang.

“Tanpa prinsip kepelbagaian kaum serta keprihatinan untuk semua kaum, masalah perkauman akan terus menjadi barah dalam masyarakat kita.

“Kita tidak boleh membiarkan Melaka dan Malaysia terikat dengan politik lama. Pakatan Harapan yang bersatu padu adalah pilihan terbaik untuk rakyat Melaka,” katanya.

Sebenarnya, Chin Tong memberitahu, PH telah pun mendapat mandat sah rakyat dalam PRU 2018 tetapi kemenangan itu dirampas oleh pihak lawan akibat perbuatan keji beberapa pengkhianat politik.

“Kini tiba masanya untuk PH mendapatkan semula haknya. Dengan sokongan rakyat, PH mampu membina semula Melaka dan Malaysia dengan lebih baik,” katanya. – Roketkini.com