Uncategorized

Kenaikan harga barang: buat sesuatu, jangan biar rakyat melarat – Rara

oleh Ghafar NS

Di ruangan media-media sosial kini, heboh tentang kenaikan harga barangan basah yang naik mencanak dan rata-rata masyarakat bimbang kerana ini jelas menambah beban dalam kehidupan seharian mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dalam satu kenyataan hari ini menggesa kerajaan mencari jalan segera bagi isu yang sedang hangat ini kerana kebanyakan rakyat masih lagi tidak mempunyai pendapatan dan kehidupan yang stabil pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudian terpaksa pula berhadapan dengan inflasi serta kenaikan harga barang makanan.

May be an image of food and text that says "HARGA SAYUR NAIK (sekilogram) Kubis bunga RM7 RM16 Brokoli RM8 RM20 Sawi pendek RM3 RM9 Sawi RM5 RM8 Kacang buncis RM8 RM15 Kubis RM4 RM6 Cili merah RM13 RM19 Cili hijau RM10 RM14 INFOGRAFIK Metro"
(Infografik dari Harian Metro)

“Walaupun masalah ini sudah dikenal pasti sejak beberapa bulan dan kerajaan sudah berjanji akan melakukan sesuatu untuk menstabilkan harga, apa yang rakyat dapat adalah pengumuman kerajaan untuk menjalankan kajian demi kajian.

“Saya menyeru semua kementerian dan agensi berkenaan agar segera menjalankan siasatan dan turun padang menjalankan operasi untuk membendung masalah kenaikan harga barang makanan mentah yang semakin tidak munasabah dan membebankan ini.” Tegasnya.

Tambah Rara lagi, bantuan kerajaan benar-benar perlu diperluaskan lagi kerana pandemik telah menjejaskan kehidupan ramai tidak kira sama ada yang bujang, sudah berkeluarga ataupun mereka yang daripada golongan M40.

Semua sedia maklum bahawa kerajaan hari ini membawa mesej ‘Keluarga Malaysia’.

“Namun, mengapa di bawah pentadbiran kerajaan ini, keluarganya iaitu rakyat semakin hidup tertekan dan tersepit?” Soal Rara.

Beliau amat berharap kerajaan dapat segera menyelesaikan isu kenaikan harga melampau ini sebelum perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina tiba nanti. – Roketkini.com

Kenyataan penuh: https://www.facebook.com/photo?fbid=435519444608190&set=a.399672308192904