Berita, Isu Semasa

Anak muda DAP peduli, Sarawak maju

Oleh Ghafar NS

Mengkangkat isu tempatan dan isu setempat ke platform yang lebih besar di peringkat Persekutuan.

Demikian fokus Calon N14 Batu Kawah, Kelvin Yii Lee Wuen jika beliau diberi peluang menjadi wakil rakyat bagi penduduk kawasan tersebut.

Kelvin yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata, beliau berasa bangga diberi peluang untuk bertanding di Batu Kawah bagi mengangkat suara penduduk setempat demi perubahan dan kemajuan kawasan tersebut.

“Menjadi Ahli Parlimen, saya banyak membawa dan bercakap isu Persekutuan yang lebih besar.

“Jika diberi peluang menjadi wakil rakyat bagi penduduk Batu Kawah, maka isu lokal, isu setempat di sini dapat saya angkat dan bawa ke platform yang lebih besar seperti di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi bual bicara atas talian bersama seorang lagi calon muda DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak iaitu Calon N12 Kota Sentosa, Michael Kong Feng Nian.

Pada sesi tersebut, pelbagai perkara berkenaan dengan penglibatan mereka, aspirasi dan perubahan yang mahu mereka bawakan untuk Sarawak telah dikongsikan.

Kelvin turut berkongsi, sebab beliau menyertai politik adalah kerana kesedarannya kepada betapa pentingnya polisi nasional yang baik untuk kebaikan dan manfaat seluruh masyarakat.

Ini dirasakannya sendiri tambahnya, apabila menyertai program kemanusiaan sebagai doktor ke Filipina dan memikirkan nasib masyarakat di sana yang mengalami pelbagai kesusahan tanpa polisi negara yang memberi manfaat serta keuntungan kepada masyarakat yang susah.

Perkara tersebut ujarnya, sehingga menyebabkan tahap kehidupan di sana amat sukar serta menyedihkan.

“Saya berminat menyertai DAP kerana selain berjuang untuk keadilan sosial, ia juga sebuah parti yang benar-benar memberi peluang kepada anak muda, lebih-lebih lagi inilah parti yang mempunyai jumlah wakil rakyat muda tertinggi,” jelas Kelvin apabila ditanya bagaimana penyertaannya bersama parti DAP.

Menurutnya juga, DAP sentiasa memberi peluang kepada anak-anak muda untuk bertanding dan membawa idea-idea baharu serta progresif.

Dalam pada itu, Michael berkara, beliau mula meminati bidang politik sejak di universiti lagi apabila mengkaji sistem perundangan negara.

“Saya dapati ramai yang terlibat dalam politik masih mengamalkan amalan politik lama seperti rasuah, menggunakan wang untuk membeli undi dan ini membangkitkan minat saya untuk menceburi bidang politik dengan menjadi ahli DAP, sebuah parti yang mengangkat keadilan sosial dan progresif.” Jelas Michael.

Jelas Michael, penyertaannya sebagai calon dalam PRN Sarawak kali ini adalah satu cabaran menarik kerana beliau merupakan wajah baru mewakili DAP, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, mungkin agak sukar bagi masyarakat mengenali wajahnya.

Sementara itu, Kelvin juga berharap dengan peluang yang diberikan kepadanya sebagai Ahli Parlimen dan mungkin juga sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Batu Kawa, beliau mahu membawa sebuah politik baharu di Sarawak dan negara seluruhnya.

“Ada satu kata-kata hikmah yang sering dikongsikan berbunyi ‘anak muda adalah pemimpin masa depan’, namun saya lebih percaya bahawa anak muda adalah pemimpin hari ini,” katanya. – Roketkini.com