Isu Semasa

MP DAP sambut baik arahan mahkamah agar KDN daftarkan MUDA

Oleh Aziera NH

Ahli-ahli Parlimen DAP menyambut baik keputusan Mahkamah yang mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendaftarkan parti MUDA.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng antaranya, yang menyambut baik keputusan mahkamah tersebut.

“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Parti Muda (MUDA) yang diterajui oleh Ahli Parlimen Yang Berhormat Syed Saddiq.

“Setelah beberapa kali kes pendaftaran parti tersebut dibawa ke muka pengadilan, semalam Mahkamah Tinggi telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk meluluskan pendaftaran parti tersebut beserta pembayaran kos guaman sebanyak RM 10,000.

“Kemenangan yang pihak mereka terima juga bukanlah kemenangan yang calang-calang, tatkala banyak parti-parti lain didaftarkan tanpa melalui jerih payah seperti mereka, permohonan pendaftaran mereka ditolak tiga kali dan ditolak tanpa alasan yang kukuh,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

Jelas Lip Eng, hal ini cukup membuktikan usaha berterusan mereka sudahpun membuahkan hasil dan mereka juga bukanlah anak muda yang mudah mengalah.

Selain itu, katanya, kemenangan pihak MUDA kali ini jelas membuktikan pihak kehakiman dalam situasi ini adalah badan yang berkecuali dan telah memberikan penghakiman bijaksana dan yang penting sekali, melalui proses yang telus.

“Beberapa minggu lepas juga kita dapat lihat pihak mahkamah telah mendapati Datuk Seri Najib Razak bersalah di atas pecah amanah dan penyelewengan dana SRC International sewaktu beliau memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.

“Hukuman ke atasnya juga telah diberikan setelah semua bukti yang dikemukakan kepada pihak mahkamah beserta mengambil kira kemudaratan ke atas rakyat yang beliau lakukan di atas dasar kepentingan nasional,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh juga tidak ketinggalan untuk mengucapkan tahniah kepada Parti MUDA. 

“Tahniah MUDA, mahkamah mengarahkan KDN untuk daftarkan MUDA dalam tempoh 14 hari,” katanya di laman Facebooknya. – Roketkini.com