Uncategorized

Bencana banjir: Wakil rakyat DAP bersama penduduk

Oleh Roketkini

Wakil-wakil rakyat DAP terus proaktif menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana banjir buruk yang melanda negara kelmarin.

Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack antaranya, telah mengatur bot untuk kegunaan penyelamatan semalam, selain mengurus bekalan makanan.

Selain melawat pusat-pusat pemindahan sementara (PPS), beliau turut menyerahkan sumbangan pelbagai jenis keperluan untuk mangsa banjir.

“Ini adalah waktu paling sukar bagi seluruh warga Bentong. Bencana banjir kali ini adalah terburuk dalam sejarah daerah ini.

“Bagaimana pun, pejabat saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu semua yang terkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal pantas membantu penduduk-penduduk kawasannya yang terjejas dengan bencana banjir.

Edry telah mengatur tempat khas untuk mangsa banjir yang positif Covid-19 dan juga kontak rapat yang sedang menjalani kuarantin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menerusi pasukannya turut menyelaraskan bantuan makanan, air dan lilin kepada keluarga yang terkesan dengan insidden tanah runtuh di Kampung Palimbayan, dekat Kuala Lumpur.

“Saya akan meminta bantuan kewangan daripada Menteri Wilayah untuk membantu penempatan perumahan bagi 12 keluarga ini,” kata Hannah.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook menerusi pusat khidmatnya juga telah telah menghantar bekalan makanan kepada 18 keluarga Orang Asli di Kampung Ngoi Ngoi, Jalan Seremban- Jelebu yang terkandas.

“Semua jalan masuk ke kampung tersebut terputus disebabkan kerosakan jalan dan jambatan.

“Pasukan saya tidak dapat masuk dengan kenderaan dan terpaksa menyerahkan barangan di tengah jalan dan penduduk mengangkut barangan tersebut dengan motosikal,” katanya.

Menurut Anthony, bencana banjir besar kali menyebabkan banyak kerosakan harta benda dan kemudahan awam.

“Kami perlu mengembleng tenaga untuk membina semula,” katanya. – Roketkini.com