Isu Semasa

Kerajaan perlu diketuk, baru bertindak

Oleh Aziera NH

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menegaskan betapa pentingnya peranan pembangkang yang kuat untuk menyuarakan suara rakyat dan memastikan rakyat menerima manfaat daripadanya.

Menurut Hannah, apabila pembangkang kuat, maka pihak kerajaan perlu akur dengan desakan yang diberikan dan akhirnya rakyat menerima manfaat.

“Siapa kata Pembangkang tak ada peranan?

“Saya akan terus bersuara untuk rakyat. Apabila Pembangkang kuat, Kerajaan perlu akur dan akhirnya rakyat menerima manfaat,” katanya dalam satu hantara Facebook semalam.

Ini adalah susulan daripada gesaan beliau agar Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memberi pengecualian bil air dan elektrik kepada mangsa banjir yang terkesan akibat musibah itu.

Katanya, perkara itu dibangkitkan sendiri oleh penduduk yang terkesan kerana perlu menggunakan sumber air dan elektrik dalam kuantiti yang banyak untuk membersihkan kediaman selepas dilanda bencana itu.

“Oleh kerana kerja pembersihan yang sangat besar, jadi ia mengambil banyak penggunaan air dan elektrik, jadi mereka (mangsa) nak dikecualikan pembayaran bil untuk bulan ini,” katanya.

Media semalam melaporkan, dijangka 72,000 pelanggan domestik yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini bakal menerima rebat 100 peratus secara one off untuk bil Disember ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB)  memberikan rebat 100 peratus itu bagi meringankan beban mangsa banjir.- Roketkini.com