Berita

Sebarang pilihan raya masa ini tidak sensitif realiti rakyat – PH Johor

Oleh Roketkini

Langkah melaksanakan sebarang pilihan raya pada masa ini sebagai tidak sensitif terhadap realiti yang sedang rakyat lalui, tegas Pakatan Harapan (PH) Johor.

Menurut PH Johor, krisis kesihatan akibat Covid-19 yang memberikan dampak kelembapan ekonomi masih belum selesai.

Bahkan tambahnya, kemunculan varian Omicron menambah lagi kebimbangan rakyat.

“Ramai rakyat biasa yang terkesan. Dari sudut ekonomi domestik, telah ramai yang hilang pekerjaan seterusnya mengubah kehidupan rakyat ibarat kais pagi makan pagi.

“Tambah mendukacitakan, kegagalan kerajaan menstabilkan harga barangan mutakhir ini juga telah ‘menambah cuka pada luka’ yang dialami rakyat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Pada masa yang sama, jelasnya, negara turut sedang bergelut dengan bencana banjir yang telah mengorbankan puluhan nyawa rakyat biasa serta melibatkan kemusnahan harta benda mencecah jutaan ringgit.

“Ini suatu sejarah hitam. Lebih malang lagi, saat rakyat berhadapan kesemua malapetaka ini, terdapat sebahagian pemimpin negara yang sedang bercuti keluar negara,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan, Kerajaan Johor akan melihat dan memantau keadaan semasa termasuk meneliti keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan sebagai berkata, beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri tidak lama lagi untuk memaklumkan tentang kedudukan kerajaan negeri yang ketika ini mempunyai majoriti yang amat tipis dengan hanya satu kerusi yang boleh membuatkan kerajaan negeri dikhuatiri bertambah tidak stabil.

Mengulas kenyataan Hasni tersebut, PH Johor berpandangan, kenyataan dikeluarkan Menteri Besar berkaitan kemungkinan perlaksanaan Pilihan Raya di Negeri ini sebagai tidak empati dengan nasib yang sedang dihadapi rakyat.

Jelasnya, PH Johor berpendirian, segala usaha, tenaga, komitmen dan dana haruslah disalurkan untuk membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan pada ketika ini, meskipun kedudukan DUN berada pada angka 28-27 selepas pemergian ADUN Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian.

Hal ini kerana, Pakatan Harapan Johor telah sebulat suara menyatakan komitmen sepenuhnya untuk memberikan fokus membela nasib rakyat berbanding sepak terajang politik seputar soal perebutan kuasa semata-mata.

“Jangan menambah mual rakyat lagi terhadap perangai politikus saat rakyat sedang bergelut bertarung nyawa dan berusaha mencari sesuap nasi demi survival mereka,” katanya. – Roketkini.com