Uncategorized

8 cadangan tangani kemelut pemecatan atlet

Oleh Steven Sim 

(Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan mantan Timbalan Menteri Belia dan Sukan)

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi telah tampil menjelaskan bahawa bukan setakat 144 orang atlet yang telah digugurkan daripada program latihan sukan kebangsaan, malah angka sebenar atlet yang telah dipecat ialah seramai 253 orang.

Ini tidak termasuk atlet yang mengalami pemotongan elaun secara mendadak seperti atlet olahraga negara, Rayzam Shah Wan Sofian yang mendakwa bahawa elaun latihan beliau dipotong daripada RM2000 sebulan kepada hanya RM800 sebulan.

Setakat ini, hanya Ketua Pengarah MSN sahaja yang berani berdepan media memberikan penjelasan tentang isu yang serius ini.

Menteri Belia dan Sukan masih diam seribu bahasa.

Isunya ialah kegagalan Menteri Belia dan Sukan mendapatkan peruntukan yang mencukupi sehingga berlakunya kemelut pemecatan beramai-ramai atlet negara.

Jika Menteri tidak mempunyai idea, izinkan saya mengemukakan 8 cadangan berikut:

1) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) patut mencari sumber kewangan baru untuk membiayai pembangunan sukan.

Sebagai contohnya, semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), KBS telah berjaya mendapat persetujuan Kabinet untuk menyalurkan RM30 juta dari hasil cukai gula bagi tujuan pembangunan sukan.

2) Di bawah pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kini gabungan BN-PN, cabutan khas judi telah ditambah daripada 8 kali sehingga 22 kali.

Justeru, cukai judi (gaming tax) yang sebahagiannya disalurkan kepada pembangunan sukan juga harus ditingkatkan.

Ini sekurang-kurangnya dapat menjana RM50-RM100 juta untuk pembangunan sukan.

3) Kerajaan wajar memperkenalkan pelepasan cukai korporat untuk tajaan atlet, acara sukan dan pembangunan sukan secara am bagi menggalakkan sumbangan kewangan daripada pihak swasta.

Saya telah beberapa kali membangkitkan cadangan ini di Parlimen sejak Belanjawan 2021 lagi.

4) KBS juga patut memperluaskan lagi program TRACK yang diperkenalkan semasa pentadbiran PH di bawah MSN untuk menempatkan atlet bekerja secara masa flexi (flexi hour) di syarikat-syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ini bukan sahaja dapat menambahkan pendapatan atlet, malah memberi platform kerjaya kedua untuk mereka. 

5) Program MACE (Malaysia Athletes Career and Education) harus diperkasakan untuk mewujudkan ekosistem kerjaya sukan serta pasca-kerjaya sukan yang lebih baik untuk para atlet.

Sebarang penamatan kontrak atlet perlu dirunding dengan adil, atlet harus diberi masa peralihan yang sesuai, dan ditawarkan peluang pendidikan ataupun pekerjaan pasca-kerjaya sukan yang munasabah.

6) KBS harus meningkatkan keupayaan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk memastikan SEMUA bekas atlet negara mendapat perlindungan di bawah program kebajikan YAKEB. Saya mencadangkan agar satu peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta disalurkan kepada pihak YAKEB bagi tujuan tersebut.

7) KBS dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan perlu melaksanakan strategi perbelanjaan berhemah seperti penjimatan melalui tender terbuka, dan menghentikan budaya membiayai “percutian sukan” untuk pegawai-pegawai sama ada pegawai Menteri, penjawat awam mahupun pegawai persatuan sukan dengan alasan “mengiring” atlet ke temasya luar negara.

Hadkan rombongan kepada pegawai-pegawai yang berkaitan dengan temasya dan atlet secara langsung sahaja.

Ketika temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020, waima dengan pegawai pengiring yang ramai, masih berlaku insiden atlet lontar peluru kita Muhammad Ziyad Zolkefli gagal tiba awal di tempat menunggu yang mengakibatkan beliau terlepas peluang mendapat pingat emas walaupun telah mencipta rekod baharu kejohanan.

8) KBS patut menggalakkan pembangunan kelab-kelab sukan profesional yang mampu mencungkil bakat sukan di samping menarik pelaburan swasta.

Sebagai contohnya, semasa pentadbiran PH, KBS berjaya mendapat persetujuan BAM untuk membenarkan pemain profesional bertanding mewakili negara. Ini membolehkan beberapa orang pemain kebangsaan menjadi pemain profesional yang dibiayai pihak swasta dan pada masa yang sama diberi peluang mewakili negara di temasya antarabangsa.

Sistem kelab sukan professional ini telah menghasilkan prestasi yang cemerlang di negara lain terutamanya dalam sukan-sukan seperti bola sepak, badminton, bola keranjang dan sebagainya. 

Kemelut yang berlaku ini telah menjadikan sektor sukan negara muram dan murung.

Walaupun pada 29 November 2021, saya telah memberi amaran di Parlimen bahawa akan berlaku masalah besar berikutan pengurangan peruntukan sukan yang begitu mendadak, Menteri Belia dan Sukan ternyata memandang enteng isu ini.

Saya sekali lagi menggesa Menteri untuk mengambil tindakan segera sebelum sektor sukan negara menjadi lumpuh sepenuhnya, sekaligus memusnahkan segala usaha atlet, jurulatih, pegawai sukan kita selama ini. – Roketkini.com