Isu Semasa

Anggota PSC kesal kenyataan Wan Junaidi seakan membela Azam Baki

Oleh Aziera NH

Ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (PSC Agensi JPM) kesal dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengulas kes pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Empat ahli parlimen pembangkang jawatankuasa tersebut iaitu Khoo Poay Tiong (Kota Melaka), Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Aziz Jamman (Sepanggar) dan William Leong Jee Keen (Selayang) dalam satu kenyataan bersama mendakwa kenyataan Wan Junaidi seakan memperkecil “skandal” Azam.

Dalam pada itu, mereka mencabar supaya Wan Junaidi memperjelas hal yang dibangkitkan ini.

“Selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, kami kesal Wan Junaidi nampaknya memperkecilkan keseriusan skandal pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dengan membangkitkan nilai saham-saham pada masa pembelian.

“Wan Junaidi telah memberikan justifikasi isu saham dipegang oleh Azam dengan mengatakan bahawa ianya bernilai RM 330,000.00 dan adalah mampu milik.

“Persoalan kami, mengapakah Wan Junaidi kelihatan bersifat melindungi Azam?

“Isu pembelian saham-saham ini bukan sahaja isu mampu milik. Ia juga persoalan konflik kepentingan. Ia juga persoalan integriti. Ia juga persoalan defisit kepercayaan rakyat jelata terhadap SPRM selaku pembasmi rasuah. Wan Junaidi nampaknya telah mengabaikan kesemua persoalan ini,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Selain itu, anggota PSC berkenaan berpendapat kenyataan Wan Junaidi bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM itu mampu beli saham tersebut dengan menggunakan gaji sendiri juga bertentangan dengan kenyataan Azam sebelum ini yang mendakwa akaunnya telah digunakan oleh adiknya.

“Mengapakah seruan kita untuk mengadakan pendengaran untuk Azam diketepikan? Bagaimana demokrasi berparlimen di Malaysia dapat berfungsi jika PSC tidak dapat menjalankan tugas secara berdikari tanpa perlu mendapatkan kelulusan daripada eksekutif?

“Mengapakah Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) kena tulis surat kepada Wan Junaidi untuk mendapatkan kelulusan? Kami dengan sesungguhnya menyatakan bahawa tiada keperluan bagi mendapatkan kelulusan Wan Junaidi dan pihak Yang Dipertua Dewan Rakyat dan SUDR seharusnya menetapkan tarikh bagi mesyuarat atau pendengaran PSC Agensi JPM tanpa dilengah-lengahkan lagi,” katanya lagi. – Roketkini.com