Uncategorized

Bukan masa sesuai PRN Johor

Tindakan UMNO mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dilihat sebagai helah untuk ambil kesempatan ketika ramai rakyat di negeri ini yang berhadapan kesukaran untuk pulang mengundi.

Pakatan Harapan (PH) Johor dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya tetap dengan pendirian bahawa pada ketika ini bukan masa yang sesuai untuk pilihan raya.

Menurutnya, ini di saat negeri sedang menghadapi virus Covid-19, Omicron, bencana banjir dan isu ekonomi.

“Penggal pentadbiran berbaki kurang lebih setahun sahaja lagi. Mengapa tidak boleh tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi lebih stabil?

“Kami juga cukup yakin inilah kerisauan, hasrat serta nurani rakyat biasa pada ketika ini. Bahkan pelaksanaan pilihanraya negeri yang bakal menelan belanja sekurang-kurangnya RM150 juta adalah suatu pembaziran wang rakyat.

“Malangnya, UMNO tidak empati kepada rakyat yang sedang berada dalam keadaan sukar,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu dikongsikan oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Menurut kenyataan itu, PH Johor sebagai blok pembangkang terbesar di Dewan Negeri telah memberikan kerjasama agar pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik.

Tambahnya, langkah mengadakan itu dilihat menjerat rakyat dalam keadaan kesempitan akibat penularan wabak Covid-19.

“Ini adalah pilihanraya yang dipaksakan dan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat.

“Apa pun, PH Johor akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mempersiapkan diri berhadapan situasi ini,” katanya.