Berita, Rencana

Azam Baki perlu henti jaja hikayat dongeng tipu rakyat

Oleh Raja Ahmad Iskandar Fareez

(Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Wilayah Persekutuan)

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki perlu disiasat dengan teliti berikutan pendedahan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bahawa beliau mengawal penuh akaun dagangannya untuk jual beli saham pada 2015. Hal ini bercanggah dengan dakwaannya sebelum ini bahawa akaun itu digunakan oleh adiknya, Nasir Baki, untuk urusniaga saham. Dengan pendedahan ini, masihkah kita boleh mempercayai kenyataan awal beliau atau adakah ini hanya satu hikayat dongeng untuk mengaburkan kebenaran?

Sebelum ini SPRM pernah juga menjadi watak utama dalam hikayat bertaraf global. Pada 2015, Azam Baki dan pasukan penyiasat SPRM telah mendakwa mereka telah bertemu dengan Putera Arab itu yang kononnya telah menderma RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri Najib Razak. Badan pencegah rasuah ini kemudiannya telah mengesahkan bahawa wang yang dimasukkan ke dalam akaun Najib ialah “sumbangan penderma Timur Tengah” dan “tiada kaitan dengan 1MDB”.

Namun, cerita ini kemudiannya disangkal apabila Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 menyifatkan kisah derma ini seumpama hikayat dongeng dan dana dalam akaun Najib itu dilesapkan daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Jika kita dulu membesar dihiburkan dengan kisah dongeng seperti ‘Hikayat Seribu Satu Malam (Arabian Nights)’dan filem komedi klasik P. Ramlee ‘Keluarga 69’, kini kita ada cerita-cerita baru bertajuk ‘Hikayat Putera Arab (2015)’ dan ‘Keluarga Baki (2022)’ yang mungkin tidak berapa menghiburkan.

Malangnya insiden-insiden ini telah menjejaskan reputasi SPRM. Institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menegakkan integriti, sebaliknya telah tercemar akibat siri pembohongan individu yang hanya berminat untuk menyembunyikan kesalahan mereka.

Perkembangan kes Azam Baki baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa selagi beliau memegang jawatan tertinggi SPRM, selagi itulah kebenaran tidak dapat dibongkar. Azam harus direhatkan bagi memastikan siasatan bebas mengenai isu ini dapat dimulakan. Dalam jangka panjang, untuk menjamin proses semak imbang yang lebih telus, SPRM harus dirombak dan diletakkan di bawah seliaan Parlimen, bukannya Perdana Menteri.

Namun, adakah semua ini akan berlaku secara sendirinya. Tidak mungkin begitu. Kita yang perlu mengusahakannya.

Oleh itu, marilah kita memberi sokongan kepada perhimpunan #TangkapAzamBaki pada hari Sabtu ini jam 11 pagi bagi memberi ruang supaya siasatan bebas dapat dijalankan dan seterusnya menjadi pemangkin kepada usaha padu untuk #RombakSPRM. — Roketkini.com