Berita

Amat tidak bertanggungjawab ‘kluster mahkamah’ UMNO paksa PRN Johor

Veteran DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan ‘kluster mahkamah’ UMNO memaksa pilihan raya negeri (PRN) Johor diadakan – tanpa mengambil kira bahawa negeri itu mencatatkan jumlah kes dan kematian Covid-19 tertinggi di Malaysia sejak dua minggu lepas – sebagai amat tidak bertanggungjawab.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, ‘kluster mahkamah’ UMNO mahu PRN Johor menjadi pemanas badan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, pilihan raya itu diharapkan mereka akan memulihkan hegemoni politik UMNO dengan kembalinya hegemon atau kleptokrat UMNO dan mungkin seorang penjenayah rasuah yang telah disabitkan bersalah oleh mahkamah bakal ditabalkan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Jika senario politik ini berlaku, rakyat Malaysia perlu menafikan bahawa mereka adalah rakyat Malaysia apabila melancong ke luar negara atau mereka akan menjadi bahan ejekan dan cemuhan masyarakat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kit Siang, penafian jurucakap ‘kluster mahkamah’ UMNO bahawa pilihan raya umum negeri Johor ada kaitan dengan mereka adalah alasan yang lemah dan tidak meyakinkan.

Ini kerana jelas Kit Siang, ‘Kluster Menteri’ dalam UMNO tidak akan mempunyai kuasa untuk menentukan senarai calon UMNO untuk parti itu dalam Pilihan raya umum Johor kali ini.

“Ujian yang baik untuk menentukan sama ada pilihan raya negeri Johor dicetuskan oleh ‘Kluster Mahkamah’ dalam UMNO atau tidak adalah dengan melihat sama ada UMNO bersedia untuk mengangkat isu perang menentang rasuah sebagai salah satu isu utama dalam pilihan raya negeri Johor,” katanya.

Menurut beliau, pendedahan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bahawa ‘kluster mahkamah’ UMNO mahu beliau – ketika menjadi Perdana Menteri – campur tangan dalam kes mahkamah adalah pendedahan yang amat mengejutkan.

Ujarnya, ini kerana ia menunjukkan bahawa pemimpin tertinggi UMNO tidak menjunjung prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara seperti kedaulatan undang-undang dan doktrin pengasingan kuasa dalam kalangan Eksekutif, Parlimen dan Badan Kehakiman.

“Jelas sekali bahawa ‘Kluster Mahkamah’ UMNO telah jauh menyimpang daripada prinsip UMNO yang dipegang erat empat Presiden UMNO yang pertama – Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak dan Hussein Onn,” katanya. – Roketkini.com