Berita

‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’ – tawaran PH di Johor

Oleh Roketkini

Pakatan Harapan (PH) akan menyediakan siri tawaran di bawah kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’ merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial, serta reformasi politik yang akan diumumkan sebelum bermulanya kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan berkata, majlis itu turut memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon PH bagi Dewan-dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi sejurus selepas calon parti-parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Ini demi menyatakan kesediaan Pakatan Harapan menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk Kerajaan Negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik,” katanya.

Dalam pada itu, Majlis Presiden turut menjelaskan, PH memandang serius gelombang Covid-19 dengan varian Omicron yang sudah bermula dengan jumlah kes mencecah 17,000 semalam.

Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik tegas majlis berkenaan, maka kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor.

“Sekiranya kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan.

“Yang pasti Perintah Kawalan Pergerakan penuh (total lockdown) tidak boleh dikenakan kerana terbukti gagal sebelum ini,” katanya.

Majlis itu berkata, PH juga memberikan amaran agar Kerajaan tidak menyalahgunakan penguatkuasaan saman ke atas individu dan perniagaan, tetapi sebaliknya memberi fokus kepada pendidikan dan kesedaran untuk menangani cabaran gelombang Omicron ini yang rata-rata bergejala ringan.

“Jangan lah kerana nak bunuh nyamuk, habis kelambu dibakar,” katanya.

Majlis Presiden menambah, pihaknya turut mengambil maklum siri libat urus berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti bersama ahli-ahli Parlimen yang telah diadakan di Parlimen semalam.

Menurutnya, RUU Anti-Lompat Parti ini bertepatan dengan hasrat PH dan kerajaan seperti yang termaktub di dalam Perkara 2.1, Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Kerajaan dan PH.

“Perkara 2.4 menyatakan bahawa RUU ini perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac 2022.

“Oleh itu, Majlis Presiden berpandangan bahawa RUU Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan seperti yang dipersefahami di dalam MOU tersebut,” katanya. – Roketkini.com