Berita

Lanjutkan tarikh akhir permohonan undi pos jika tidak ramai berjaya daftar

Oleh Roketkini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mendedahkan jumlah pengundi yang telah berdaftar sebagai pengundi pos untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat ini.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, jika ternyata tidak ramai telah berjaya didaftarkan sebagai pengundi pos, suruhanjaya itu didesak melanjutkan tarikh akhir permohonan tersebut.

“Seperti diketahui umum, SPR memberi peluang bagi semua pengundi Johor yang tidak dapat pulang untuk mengundi, untuk mendaftar sebagai pengundi pos. Akan tetapi, mereka diberi tarikh sehingga Jumaat ini sahaja, bersamaan 18 Februari untuk mendaftar.

“Tarikh tamat yang begitu pendek sebegini membawa kebarangkalian di mana pengundi mungkin tidak tahu yang mereka perlu mendaftar sebagai pengundi pos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nie Ching berkata, walaupun permohonan undi pos akan tamat tidak lama lagi, usaha-usaha SPR yang hambar dan kurang bersungguh-sungguh dalam memastikan semua pengundi Johor dapat mengundi tidak kira di mana mereka berada amat mengecewakan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Johor berkata, pihaknya juga telah menerima banyak aduan di mana pengundi mengalami pelbagai masalah teknikal untuk berdaftar sebagai pengundi pos di laman web SPR.

Antaranya kata Nie Ching, seperti tidak dapat memuat naik gambar kad pengenalan, tidak dapat memilih hari jadi dan sampai ada yang mengambil masa dua atau tiga hari untuk mencipta akaun dalam laman web tersebut.

“Semua kesukaran teknikal ini menghindarkan pengundi dari melengkapkan pendaftaran akaun mereka dan pihak SPR harus bertanggungjawab atas masalah ini. Oleh demikian, adalah wajar untuk pihak SPR memanjangkan dan meuar-uarkan lagi tarikh akhir pendaftaran pengundian pos,” katanya.

Selain itu, Nie Ching berkata, beliau menggesa pihak SPR untuk menyediakan beberapa pusat mengundi di luar negara terutamanya di Singapura.

Jika benar pihak SPR ingin menegakkan proses pengundian yang adil untuk semua, terutamanya pengundi Johor yang bermastautin di Singapura dan tidak mampu balik ke Johor, tegasnya, mereka harus memobilisasikan sedaya upaya untuk meninggikan peratusan pengundian.

“Lagi-lagi dengan kos RM96 juta yang dianggarkan untuk melakukan PRN. Kita harus belajar dari kesilapan yang dilakukan di PRN Melaka dan Sarawak dan jangan pula peruntukan yang diberikan diguna untuk kaedah tradisional yang lama,” katanya. – Roketkini.com