Kenyataan Akhbar

Isu kerjasama PH dan PN dalam PRU15 tidak timbul – Anthony Loke

Kenyataan Media oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada 22 April 2022

Saya merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menyeru Pakatan Harapan (PH) membuka ruang kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Kenyataan tersebut merupakan pandangan peribadi beliau dan ia tidak pernah diputuskan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan.

DAP berpendirian bahawa isu kerjasama antara Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional dalam PRU15 tidak timbul kerana PN merupakan sebahagian daripada blok kerajaan hari ini. Konsep “khemah besar” yang dipersetujui dalam Resolusi Port Dickson merujuk kepada kerjasama dalam blok pembangkang.

Semua pihak dalam PH perlu menyedari bahawa adalah amat sukar kerjasama dengan PN dapat dijalin dengan latarbelakang sejarah hitam yang pernah kami lalui dengan parti-parti komponen dalam PN.

Saya menyeru semua pimpinan dalam PH supaya membincangkan sebarang pandangan berkenaan kerjasama politik dengan pihak lain dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan dan bukannya melalui kenyataan terbuka untuk memastikan tidak ada kekeliruan di kalangan ahli dan penyokong kita.

Segala keputusan mengenai halatuju dan kerjasama di luar kerangka PH mesti diputuskan secara bersama oleh Majlis Presiden PH.