Uncategorized

Naik taraf jeti Kampung Bahagia demi rakyat Teluk Intan – Nga Kor Ming

Kenyataan Media Ketua DAPSY Perak Woo Kah Leong di Teluk Intan pada 25 April 2022

TELUK INTAN – Dengan memimpin pasukan khidmat DAP Teluk Intan, Pengerusi DAP Perak merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan YB Nga Kor Ming telah melawat tapak kerja-kerja baikpulih dan menaiktaraf Jeti Lorong Masjid, Kampung Bahagia bagi melihat sendiri perkembangan proses dan gerak kerja yang sedang berlangsung.

Woo Kah Leong yang juga merupakan Setiausaha Politiknya berkata, kerja-kerja baik pulih berkenaan yang melibatkan kos sebanyak RM60,000.00 adalah merangkumi kerja membina semula struktur jeti yang telah rosak dan runtuh sepanjang 180 kaki. Ketika lawatan diadakan, kerja-kerja menanam cerucuk konkrit sedang giat dijalankan.

“Tanpa kemudahan infrastruktur jeti yang selamat adalah sukar untuk para pemancing meningkatkan tahap ekonomi dan pendapatan mereka. Keadaan jeti yang rosak dan runtuh adalah sangat berbahaya bagi keselamatan nyawa dan harta benda pengguna jeti berkenaan sekali gus menyebabkan kerisauan dalam kalangan pemancing seterusnya membantutkan perkembangan ekonomi penduduk setempat.”

Dengan memetik kata-kata penduduk setempat dan pemancing di sini, Woo Kah Leong menyatakan bahawa anggaran seramai 60-70 orang pemancing sungai menggunakan jeti ini untuk meletakkan bot dan untuk turun dan naik sungai bagi mencari rezeki seperti udang galah dan ikan di sungai berhampiran. Jeti ini juga sering mendapat kunjungan pemancing-pemancing luar daerah yang menyewa bot di jeti ini bagi memancing udang galah di Teluk Intan.

“Seluruh pasukan khidmat DAP Teluk Intan mengharapkan agar kerja-kerja baikpulih dan membina semula jeti ini berjalan lancar dan bakal mewujudkan kemudahan jeti yang selamat, selesa dan memberi manfaat kepada semua penduduk Kampung Bahagia yang bekerja sebagai pemancing sungai seterusnya memberi impak positif terhadap aspek sosioekonomi penduduk setempat.” Jawab Woo Kah Leong apabila ditanya tentang kepentingan kerja-kerja baik pulih jeti ini.

“Walaupun DAP berada dalam blok pembangkang namun DAP tetap berusaha sedaya upaya bagi menyelesaikan masalah rakyat dan membawa kemajuan serta pembangunan yang dapat memberi impak besar kepada penduduk. DAP tidak sekadar menunggu kerajaan menyelesaikan masalah rakyat tetapi DAP sendiri akan berusaha untuk selesaikan masalah rakyat. Kesukaran yang dihadapi oleh rakyat pada ketika ini tidak boleh diselesaikan dengan sekadar menunggu langkah-langkah penyelesaian yang lewat daripada pihak kerajaan. Untuk membangunkan ekonomi negara, ekonomi rakyat terbawah perlu dibela terlebih dahulu. DAP dan Pakatan Harapan sentiasa meletakkan nasib rakyat sebagai keutamaan.” Ujar Ketua DAPSY Perak tersebut lagi. – Roketkini.com