Kenyataan Akhbar

Isu pelantikan Tajuddin: Adakah sudah tiada calon lain yang lebih layak di Malaysia? – Teresa

Kenyataan Media Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Pada 18 Mei 2022 di Kuala Lumpur.  

Pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato Sri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Malaysia ke Indonesia telah menarik perhatian banyak  di negara kita. Pelantikan seorang ahli politik yang penuh kontroversi ini dengan perangainya yang kurang senonoh bukan sahaja menimbulkan persoalan tentang kriteria pelantikan duta tetapi juga sikap beliau berkemungkinan merosakkan hubungan di antara Malaysia dan Indonesia. 


Bekas Duta Malaysia, Datuk Noor Farida Mohd Ariffin menyifatkan pelantikan Tajuddin sebagai duta adalah satu “malapetaka” dan “memalukan” kerana Tajuddin “kurang kaliber dan tiada kemahiran diplomatik” untuk jawatan itu.  


Saya amat bersetuju dengan pandangan Datuk Farida terhadap pelantikan Tajuddin. Peranan duta dan pegawai diplomatik adalah sebagai jambatan di antara Malaysia dan negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan negara kita.  


Selama ini, Indonesia mempunyai hubungan yang rapat dengan Malaysia. Ia juga merupakan rakan strategik bagi Malaysia di rantau ASEAN. Hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia sangat penting. 


Masalahnya ialah latar belakang, sikap dan beberapa kenyataan kurang senonoh yang diutarakan oleh Tajuddin menunjukkan beliau bukan calon yang sesuai untuk memegang jawatan diplomatik bagi mewakili Malaysia di Indonesia. 


Kenyataan beliau yang kontroversi seperti mengejek nama keluarga saya di Dewan Rakyat pada tahun 2016 dan bersikap acuh tak acuh sewaktu perlanggaran dua tren LRT pada tahun lalu (ketika beliau memegang jawatan Pengerusi Prasarana) mendedahkan diri beliau yang sebenar. Kata-katanya memang memalukan Malaysia. 


Apakah kerajaan sanggup menanggung malu jika Tajuddin meneruskan sikap dan perangainya setelah menjadi Duta Malaysia ke Indonesia? Adakah kita bersedia untuk menerima kemungkinan hubungan baik Malaysia-Indonesia akan terjejas? 


Paling penting, rakyat ingin tahu, apakah Malaysia sudah tiada calon lain yang lebih layak dan lebih berwibawa untuk menjadi Duta Malaysia ke Indonesia? – Roketkini.com