Kenyataan Akhbar

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi hanya akan jadi “Sembang Kedai Kopi” jika PM tak ambil serius – Guan Eng

Kenyataan Akhbar Oleh Pengerusi Kebangsaan DAP Dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng Di Kuala Lumpur Pada 30.6.2022.

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan menjadi satu lagi “sembang kedai kopi” tanpa sebarang tindakan konkrit jika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak mengambil tanggungjawab mengetuainya sendiri bagi menekankan komitmen serius kerajaan untuk menangani krisis kewangan teruk yang dihadapi rakyat dan perniagaan. Apa gunanya menubuhkan satu lagi Jawatankuasa Khas Kabinet 6 orang menteri apabila diketuai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, yang tidak dapat mengira dengan tepat analisis kos-faedah pemansuhan subsidi untuk ayam, telur dan minyak masak (kecuali peket 1kg)?

Annuar telah membuat dakwaan palsu minggu lepas bahawa kerajaan telah memutuskan untuk meningkatkan nilai subsidi dengan mengkaji semula subsidi sekarang walaupun kerajaan hanya menyalurkan kepada rakyat RM630 juta daripada RM960 juta penjimatan daripada pemansuhan subsidi untuk ayam, telur dan minyak masak (kecuali peket 1kg).

Dengan penjimatan RM 960 juta daripada pemansuhan subsidi tetapi hanya memberikan RM630 juta sebagai bantuan tambahan dalam bentuk wang tunai tambahan sebanyak RM100 kepada isi rumah B40 dan RM50 kepada bujang, bermakna rakyat kehilangan RM330 juta dalam faedah subsidi sebelumnya. Bolehkah kita mengharapkan seorang Menteri yang tidak faham apa yang diperkatakan atau tidak boleh mengira untuk membantu kita mengatasi inflasi dan kenaikan harga?

IHPR Bagi Mei Meningkat Kepada 11.2% Dan Kekurangan Buruh Yang Teruk Masih Belum Ditangani

Lebih teruk, M40 dan PKS langsung tidak mendapat bantuan tambahan walaupun mereka juga turut menderita. Ini ditunjukkan oleh kenaikan kos pengeluaran dan diukur oleh Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan Malaysia, yang mengukur kos barangan selepas keluar dari  kilang, naik sebanyak 11.2% pada Mei 2022 berbanding 11% pada April 2022.

Ramai penganalisis berpendapat bahawa peningkatan kos buruh dan bahan ditambah dengan kekurangan pekerja yang teruk, menyebabkan kegagalan besar kerajaan sekarang untuk memudahkan kemasukan pekerja tempatan. Perdana Menteri boleh membantu mengurangkan kos yang semakin meningkat dengan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja pekerja asing dengan menggunakan kuasanya tetapi sekali lagi enggan mengambil tanggungjawab. Berapa lama Ismail Sabri boleh menunggu apabila keadaan kewangan menjadi lebih sukar dengan CPI untuk Mei 2022 melebihi jangkaan dengan meningkat kepada 2.8% walaupun semua kawalan harga dikenakan ke atas barangan keperluan. – Roketkini.com