Kenyataan Akhbar

Mana bantuan untuk kumpulan M40 apabila subsidi minyak masak, ayam dan telur ditarik?

Kenyataan Akhbar Oleh Pengerusi Kebangsaan DAP Dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng Di Kuala Lumpur Pada 1.7.2022.

Rakyat Malaysia dalam kumpulan M40, mereka yang berpendapatan bulanan isi rumah antara RM4,851 hingga RM10,970, berasa dilupakan dan dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan berikutan pemansuhan subsidi minyak masak (kecuali peket 1kg), telur dan ayam yang berkuat kuasa hari ini. Berikutan pemansuhan subsidi, minyak masak Vesawit 5kg yang berharga RM28 sebelum ini kini berharga RM41/-, naik 43%.

Kenaikan yang besar itu menafikan fakta bahawa kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) atau kadar inflasi sebanyak 2.8% pada Mei 2022 tidak menggambarkan keadaan sebenar di lapangan. Peningkatan dalam Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan, yang mengukur kos barangan selepas keluar dari kilang, sebanyak 11.2% pada Mei 2022 berbanding 11% pada April 2022, mungkin gambaran lebih tepat terhadap keadaan sebenar.

Isi rumah B40 berpendapatan sehingga RM4,850 sebulan mendapat sedikit bantuan kewangan daripada kerajaan untuk mengatasi pemansuhan subsidi dengan RM100 setiap isi rumah dan RM 50 untuk bujang. Untuk M40, mereka tidak mendapat apa-apa. Kerajaan harus memberikan sedikit bantuan dengan mengambil kira bahawa seperti mereka yang dalam B40, ramai dalam M40 membelanjakan lebih daripada 25% daripada pendapatan boleh guna mereka untuk makanan.

Jangan sampai kita lupa pendapatan rakyat Malaysia turut terhakis oleh kemerosotan mendadak nilai ringgit yang merosot ke paras terendah dalam sejarah berbanding Dolar Singapura dan AS, dua daripada tiga rakan dagangan terbesar negara. Kemelesetan ekonomi dan pandemik COVID-19 sejak 2020 menyebabkan lebih 580,000 isi rumah M40 tergelincir kembali ke dalam kategori B40.

PKS  juga menghadapi masalah yang sama kerana tidak mendapat bantuan yang mencukupi daripada kerajaan untuk menampung kenaikan harga. Kos PKS ditambah lagi dengn kekurangan buruh yang teruk disebabkan oleh ketidakcekapan Menteri dan birokrasi kerajaan. Mengapa perlu menambah kesusahan kepada PKS sedangkan kekurangan tenaga buruh yang teruk ini boleh diselesaikan dengan mudah dengan kuasa Menteri?

Kerajaan Persekutuan tidak boleh mengkhianati tanggungjawab mereka untuk membantu kedua-dua M40 dan PKS. – Roketkini.com