Kenyataan Akhbar

Apa akan jadi pada kanak-kanak kita yang kelaparan?

Kenyataan media oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bertarikh 5 Julai 2022.

Saya merujuk kepada laporan berita yang menyebut “Terpaksa tahan lapar setiap malam, mahasiswa bergelut kos sara hidup tinggi”. Laporan tersebut juga menyatakan dengan kenaikan kos sara hidup memaksa para pelajar universiti mengurangkan makan malam dan ada yang hanya makan sekali sehari. Semua ini ibarat bom jangka. Kenaikan harga barang sangat memberi kesan kepada keluarga golongan bawahan dan pertengahan. Yang mereka ada cuma cukup-cukup makan, kais pagi makan pagi.

Dengan harga barang terus meningkat, kanak-kanak adalah yang paling teruk terjejas. Tiga bahagian paling kritikal yang memerlukan perhatian dan tindakan segera oleh Perdana Menteri dan Kabinetnya:

Makanan: Makanan bernutrisi menjadi perkara kedua kepada mereka yang lapar. Ada bayi yang diberi minum air kosong dan sedikit gula berbanding susu. Nasi putih kosong mungkin satu-satunya sumber makanan kerana harga daging dan protein melonjak naik di luar jangkaan. Dengan pengurangan kuantiti dan kualiti makanan, jika tiada campur tangan daripada Kerajaan Persekutuan, kita mungkin terpaksa memperuntukkan bajet yang lebih besar untuk penjagaan kesihatan kanak-kanak dan keluarga mereka di seluruh negara pada tahun-tahun yang akan datang.
 
Penjagaan Kesihatan: Ramai pengamal perubatan am melaporkan yang ubat asas untuk kanak-kanak seperti ubat cecair kini kehabisan stok dan anak-anak kecil ini sedang menanggung kesakitan. Tanpa duit, ibu bapa ini tidak mampu mendapatkan rawatan untuk anak-anak mereka.

Pendidikan: Malangnya, pendidikan anak-anak juga turut terjejas. Apabila harga barang naik, duit bagi tujuan pendidikan terpaksa dikurangkan. Ini termasuklah untuk pengangkutan, pembelian buku dan pakaian seragam, mainan dan banyak lagi. Pendidikan mereka akan terganggu atau dalam beberapa keadaan terpaksa berhenti belajar kerana ibu bapa yang terkesan mungkin memerlukan bantuan anak-anak mereka untuk membantu di gerai dan perniagaan mereka kerana mengupah pekerja jauh lebih mahal.

Saya begitu bimbang apabila membayangkan keseluruhan kitaran kesan buruk Covid ke atas kanak-kanak, kini berulang akibat krisis harga barang yang naik baru-baru ini. Sekali lagi, tiada suara Eksekutif yang berkesan daripada Menteri Pendidikan Radzi Jidin atau Menteri Wanita Rina Harun yang telah ditugaskan untuk menjaga kebajikan kanak-kanak. Sekurang-kurangnya apa yang mereka boleh lakukan sekarang ialah mengenal pasti kanak-kanak yang terkesan dan data yang relevan untuk dibentangkan di Parlimen apabila kita bersidang nanti. Setidak-tidaknya, inilah yang boleh diharapkan daripada mereka. Tanpa data, orang awam dan pelbagai NGO tidak akan dapat membantu dengan lebih berkesan. Kanak-kanak ini, terutamanya yang lebih kecil tidak mempunyai kapasiti untuk bersuara, menulis di media sosial dan surat terbuka atau hadir ke protes. Mereka hanya bergantung kepada kita untuk menjadi jurucakap mereka. Kita tidak gagal sebagai sebuah negara hanya kerana jumlah pelaburan yang kecil atau mengalami kerugian ekonomi. Kita gagal sebagai sebuah negara apabila poket Menteri kita lebih tebal sedangkan perut anak-anak kita kurus menipis. – Roketkini.com