Kenyataan Akhbar

PDRM perlu percepat siasatan ‘ladang toyol siber’ – Guan Eng

Kenyataan Akhbar Oleh Pengerusi Kebangsaan DAP Dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng Di Kuala Lumpur Pada 15.8.2022.

Polis Diraja Malaysia atau PDRM tidak seharusnya membiarkan dirinya diperalatkan sebagai alat politik dengan mendalangi ladang toyol siber yang menggunakan akaun media sosial palsu untuk menyokong gabungan kerajaan semasa dan mengulangi dakwaan rasuah palsu terhadap pengkritik kerajaan. Meta – syarikat di sebalik Facebook, Instagram dan WhatsApp – dalam Laporan Ancaman Musuh Suku Tahunan terbaru yang dikeluarkan seminggu yang lalu, telah menuduh PDRM mengendalikan ladang toyol siber dalam talian dengan beratus-ratus akaun yang digunakan untuk menyasarkan orang awam dengan mempengaruhi atau memanipulasi wacana awam menggunakan akaun palsu.

Meta berkata ia telah mengenal pasti dan memadam rangkaian lebih 600 akaun palsu yang menyiarkan meme dalam bahasa Melayu yang dikaitkan dengan PDRM, yang menyokong gabungan kerajaan semasa dan cuba untuk menggambarkan pengkritiknya sebagai perasuah, selain mempromosikan polis. Sebagai maklum balas, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan ringkas menafikan laporan Meta, memandang serius dakwaan itu dan sedang mengumpul maklumat lanjut. Sehingga kini tiada maklum balas terhadap kemajuan atau hasil pengumpulan maklumat oleh PDRM.

Ketua Polis Negara (KPN) Acryl Sani Abdullah Sani tidak sepatutnya menjatuhkan kedudukan dirinya ke tahap yang sama seperti Peguam Negara Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, dengan gagal melaksanakan kewajipan undang-undang mereka secara bebas dan profesional. Kedua-dua Idrus dan Azam telah menjadi boneka politik yang menahan tindakan terhadap ahli parlimen kerajaan dan ahli parlimen pembangkang yang berpaling tadah untuk menyokong kerajaan semasa, atau tidak mahu mengambil tindakan terhadap skandal besar awam dengan hanya melakukannya apabila diarahkan oleh Perdana Menteri, seperti bayaran RM6 bilion untuk 6 Kapal Tempur Pesisir (LCS), di mana tidak ada satu kapal pun yang siap.

Dakwaan Meta sememangnya serius dan telah memilih untuk memadam 596 akaun Facebook, 180 halaman, 11 kumpulan dan 72 akaun Instagram yang dikaitkan dengan PDRM. Meta mendakwa bahawa akaun ini telah berjaya mengumpulkan lebih 427,000 akaun sebagai pengikut pada satu atau lebih Halaman Facebook, dengan 4,000 lagi menyertai kumpulan Facebook sedemikian, dan 15,000 menjadi pengikut pada beberapa akaun Instagram ini. Meta melaporkan bahawa akaun milik ladang toyol siber ini telah membelanjakan sekitar AS$6,000 untuk pengiklanan di kedua-dua Facebook dan Instagram, dengan kebanyakannya dibayar dalam Ringgit Malaysia.

KPN Acryl Sani Abdullah Sani sepatutnya menjunjung dan melaksanakan kewajipan undang-undang PDRM kepada negara seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 3(3) Akta Polis 1967, dan tidak terikat kepada ahli politik yang memerintah kerajaan semasa. Bagi mempertahankan kredibiliti dan integriti PDRM, KPN harus menyegerakan siasatan dan mendedahkan kepada umum hasil daripada dakwaan serius Meta terhadap PDRM menjalankan ladang toyol siber yang menggunakan akaun palsu untuk menyokong kerajaan semasa dan memburukkan pengkritik kerajaan dengan dakwaan rasuah palsu. – Roketkini.com