Rencana

BN tidak wajar terus bohongi rakyat – Oleh Lim Guan Eng

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya terus berbohong bahawa perjanjian lebuhraya tidak boleh dirunding semula bagi menghalang kenaikan kadar tol bagi syarikat yang sudah mendapat balik pelaburan atau kos pembinaan lebuhraya apabila BN berjaya berunding semula perjanjian itu pada 2010 bagi mengelak tol dinaikkan menjelang Pilihan Raya Umum 2013 lalu.

Rakyat Malaysia yang memilih BN terus menerajui negara selepas PRU-13 berdepan dengan kenaikan besar bayaran tol membabitkan 13 lebuhraya di negara ini pada 2014 berikutan kenaikan tarif elektrik yang diumumkan, 2 Disember lalu.

Bagaimanapun BN dengan angkuh menjustifikasikan kenaikan kadar tol itu dengan menyarankan rakyat Malaysia menggunakan jalan alternatif bebas tol yang kurang bermutu daripada mengakui menggadaikan kepentingan rakyat biasa dan peniaga kecil bagi memuaskan ketamakan kroni mereka.

Jika Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Wahid Omar boleh menggesa pemandu memilih menggunakan laluan alternatif jika tidak berpuas hati dengan kenaikan tol yang akan berlaku di lebuhraya, mengapa rakyat tidak diberi kebebasan bertanya berhubung pemilihan syarikat konsesi tol yang diberi tanpa tender kompetitif terbuka?

Sikap pilih kasih kerajaan BN berulang lagi apabila mereka sebenarnya mampu membayar RM400 juta sebagai pampasan bagi mengelak kenaikan tol sebelum pilihan raya umum lalu tetapi tidak mampu membayar RM400 juta selepas memenangi pilihan raya itu.

Walaupun sudah menandatangani perjanjian, kerajaan BN masih dapat melepaskan diri daripada terma tidak adil melalui rundingan semula perjanjian baru.

BN terus mendakwa bahawa kenaikan tol yang dijadualkan dilakukan mengikut perjanjian dan menjadi tanggungjawab kerajaan menghormati terma perjanjian itu atau membayar pampasan yang besar.

Rundingan semula perjanjian tol yang dimeterai sebelum ini

Perlu diingatkan bahawa hampir tiga tahun lalu iaitu pada 15 Oktober 2010 iaitu tahun pertama di mana Najib Razak menjadi Perdana Menteri mengumumkan had lima tahun kadar tol bagi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan empat lebuhraya lain yang berkaitan ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat.

Kerajaan BN kemudian mendakwa kejayaan dalam rundingan semula perjanjian baru dengan PLUS untuk membekukan kenaikan tol untuk lima tahun.

Jadi atas sebab itu, BN tidak harus berbohong bahawa perjanjian lebuhraya tidak boleh dirunding semula bagi menghentikan kenaikan kadar tol terutama bagi syarikat yang sudah mendapatkan balik pelaburan mereka atau kos pembinaan lebuhraya sedangkan BN berjaya melakukan rundingan semula perjanjian itu pada 2010 untuk mengelak kadar tol dinaikkan meningkat menjelang PRU-13 lalu.

Selanjutnya, selepas 2015 apabila tempoh moratorium tamat, kenaikan tol akan ditetapkan pada kadar ‘sederhana’ 5% setiap tiga tahun berbanding 10% yang asal.

PLUS juga mengetepikan tuntutan pampasan RM6.2 bilion terhadap kerajaan. Moratorium lima tahun pada 2010 menunjukkan Kerajaan Persekutuan boleh melakukan lebih banyak rundingan semula perjanjian yang lebih diterima rakyat, bukannya tunduk kepada ketamakan kroni mereka memperoleh keuntungan besar.

Contohnya, pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) membayar RM1.60 untuk setiap tol dan ia boleh meningkat kepada RM2.00 atau lebih sedangkan pemegang konsesi LDP, LITRAK, memprolehi keuntungan bersih RM127.2 juta daripada RM370.7 juta hasil (pendapatan termasuk pampasan RM86.5 juta yang dibayar Kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan kadar tol agar tidak berubah pada 2012) bagi tahun kewangan 2013.

Walaupun tanpa pampasan kerajaan, LITRAK tetap mendapat keuntungan bersih sekurang-kurangnya RM41 juta.

Dalam tempih 5 tahun lalu, keuntungan bersih terkumpul LITRAK adalah hampir RM500 juta daripada RM1.65 bilion hasil pendapatannya. Tahun ke tahun, pendapatan dan keuntungan meningkat kira-kira 5% dan keuntungan selepas cukai adalah dalam lingkungan 30% – 35%. Semua itu dicapai tanpa sebarang kenaikan tol.

Jangan guna jalan bertol

Adalah sukar untuk mempercayai bahawa Wahid tidak sedar keuntungan berlebihan yang dinikmati syarikat kroni BN memandangkan beliau seorang ahli bank.

Tetapi sebagai ahli bank yang kaya, mungkin Wahid tidak sedar bagi kebanyakan rakyat Malaysia jalan bertol merupakan hanya laluan yang ada.

Sekiranya memperoleh peluang, pemandu Malaysia akan melakukan yang terbaik bagi mengelak lebuhraya bertol dan berdepan dengan kesesakan lebuhraya.

Ini sekaligus mendorong berlakunya kesesakan trafik di sepanjang jalan utama dan jalan kecil di kawasan perumahan.

Kita mempunyai 27 lebuhraya bertol swasta di seluruh negara sepanjang kira-kira 1,500 kilometer yang dikendalikan oleh 20 syarikat konsesi.

Sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jalan bertol tertumpu di Lembah Klang. Dengan hanya 20% menggunakan pengangkutan awam di kawasan bandar, bagaimana mungkin untuk rakyat biasa mampu mengelak daripada menggunakan kereta dan membayar tol?

Hanya Menteri BN yang megah dalam konvoi kenderaan bercermin hitam mewah yang dapat berbuat demikian kerana mereka terpisah daripada realiti kehidupan rakyat kebanyakan membayar tol.

Berikutan peningkatan harga bahan api, gula, tarif elektrik dan tidak lama lagi akan disusuli dengan kenaikan tol, tambang bas sekolah, harga tiket bas dan kereta api serta peningkatan 300% dalam cukai pintu Kuala Lumpur, peningkatan tahunan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM650 bagi setiap keluarga yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 tidak berkesan dan tidak bermakna untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Keluarga kelas pertengahan lebih parah kerana mereka tidak layak mendapat apa-apa bantuan. Kesan inflasi ini adalah penanda aras lemah oleh kerajaan BN dan hanya akan menjadikan pertumbuhan ekonomi bersama semakin kabur.-Roketkini.com

Lim Guan Eng adalah Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang dan Ahli Parlimen Bagan