Berita

DAP persoal sepupu Najib terima kontrak RM77 juta bekal label keselamatan minuman keras

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini mempersoalkan pemberian kontrak membekal label keselamatan bagi minuman keras bernilai RM77 juta kepada syarikat milik sepupu Datuk Seri Najib Razak secara rundingan terus.

Beliau merujuk laporan The Edge 12 September lalu, berhubung penganugerahan kontrak daripada Kastam Diraja Malaysia kepada Lembah Sari Sdn Bhd yang dimiliki Datuk Haris Onn Hussein – sepupu PM dan juga adik kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein – untuk mereka, mencetak, membekal dan mengedarkan label keselamatan bagi minuman keras, bermula tahun ini sehingga 2019.

Menurut laporan itu lagi, kontrak itu menjadikan Lembah Sari memonopoli kontrak label keselamatan, kerana telah mendapat kontrak yang sama bagi rokok tempatan dan import sebelum ini.

“Kerajaan perlu jawab mengapa syarikat milik saudara menteri mendapat kontrak secara rundingan terus?

“Adakah hanya mereka yang mampu cetak label keselamatan dalam negara? Atau mereka menawarkan harga kos paling rendah?” soalnya dalam sidang media di Parlimen.

Katanya, ketika Lembah Sari mendapat kontrak yang sama bagi rokok pada tahun 2006, pelbagai pihak yang terlibat tidak berpuas hati ekoran kosnya yang mahal, iaitu 11 sen bagi setiap label.

Haris memegang 68 peratus saham syarikat itu.

Pada tahun yang sama, isu juga timbul berhubung Lembah Sari yang ‘merampas’ konsesi percetakan label keselamatan daripada syarikat Kod Efisien Sdn Bhd, yang baru sahaja mendapat konsesi itu tiga tahun sebelumnya.

Adakah berkesan halang penyeludupan?

Pengerusi DAP Selangor itu juga membangkitkan keberkesanan kaedah itu bagi membanteras penyeludupan.

“Lebih penting, adakah penggunaan label keselamatan ini berkesan untuk mencegah, atau pun mengurangkan penyeludupan rokok dan arak?” soalnya, sambil memetik laporan media sebelum ini berhubung kerugian kerajaan akibat penyeludupan yang berleluasa, terutama rokok.

Memetik laporan Sinar Harian 17 Oktober 2013, kerajaan kehilangan pendapatan melalui cukai kira-kira RM2 bilion pada tahun itu akibat kegiatan penyeludupan rokok melalui sempadan negara.

“Jelas, kaedah ini langsung tidak dapat mencegah atau mengurangkan penyeludupan, hanya meningkatkan kos dan memberi untung kepada syarikat yang mendapat kontrak.

“Maka wajarkah ia diteruskan? Bukankah lebih baik menumpukan dana yang ada untuk mencari kaedah lain?” katanya lagi. -Roketkini.com