Berita

Bersih 4: Kenapa polis siasat walaupun perhimpunan berakhir dengan aman?

Naib Ketua DAPSY Kebangsaan Tiew Way Keng telah dipanggil untuk disoal siasat oleh pihak polis semalam.

Tiew diminta untuk hadir ke Balai Polis Pandan Indah berkenaan laporan polis yang dibuat pada 21 Ogos lalu. Laporan polis itu ekoran pengedaran risalah serta penjualan baju Bersih di Pasar Malam Taman Muda yang disertai Tiew dan beberapa yang lain.

“Kerajaan seharusnya memandang serius 5 tuntutan Bersih dan bukannya mengambil tindakan terhadap NGO atau rakyat,” kata Tiew yang juga merupakan Adun Teratai.

Tiew hadir ke balai polis bersama Ketua DAPSY Kebangsaan, Teo Kok Seong, Senator Selangor Chandra Mohan, Setiausaha DAPSY Selangor Rajiv Rishyakaran, Ketua DAPSY Selangor Chua Yew Choong, dan Pengerusi DAP Wanita Pandan Khong Heng Suan.

“Perhimpunan Bersih 4 telah dijalankan dan bersurai secara aman, saya tidak faham kenapa pihak polis masih hendak mengambil tindakan selepas perhimpunan aman tersebut,” kata Teo Kok Seong yang juga merupakan Ahli Parlimen Rasah.

Teo menegaskan bahawa pihak polis sepatutnya menumpukan perhatian terhadap membanteras jenayah dan bukannya membazirkan tenaga untuk menyiasat perhimpunan yang aman.

Senator Chandra Mohan pula berkata, pihak polis sepatutnya lebih peka terhadap tanggungjawab dan bukan disalahgunakan untuk menyusahkan orang awam.

Antara soalan yang ditanya kepada Tiew termasuklah siapa yang edar risalah Bersih 4, siapa yang merupakan penganjur Bersih 4, dan siapa yang menjual baju Bersih.

Tiew turut mempersoal jika siasatan itu atas arahan Zahid Hamidi. Zahid yang merupakan Menteri Dalam Negeri dan baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum ini mengharamkan baju kuning dan perkataan ‘Bersih 4’.