Berita

Keganasan rumah tangga meningkat apabila wanita dianggap objek

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Malaysia sedang berhadapan dengan senario peningkatan keganasan terhadap wanita saban tahun khususnya bagi mereka yang sudah berumah tangga.

Berdasarkan statistik Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) yang didedahkan di Parlimen sesi lalu, sebanyak 62,670 kes keganasan rumahtangga dilaporkan dari tahun 2000 sehingga Januari 2017 dengan anggaran 3,800 kes setahun bersamaan 323 kes sebulan.

Manakala Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) pula menetapkan, bagi setiap satu kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan, lima kes tidak dilaporkan.

Peningkatan gejala ini kata Ahli Parlimen Batu Kawan menunjukkan wujudnya tanggapan serong yang menganggap wanita sebagai kelas kedua berbanding lelaki.

“Adakah bilangan ini berkadar terus dengan sifat misoginistik dan budaya patriarki dimana wanita dianggap satu objek atau harta yang akan dimiliki oleh kaum lelaki seperti henfon, motosikal atau rumah?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika membahas pindaan Rang Undang-undang Akta Keganasan Rumahtangga 1994 di Parlimen semalam.

Menurut statistik  pecahan etnik, kaum Melayu mencatatkan 33,301 kes, kaum India sebanyak 14,164; kaum Cina 8,942 kes manakala 6,263 keganasan rumah tangga dicatatkan lain-lain kaum.

Menurut Kasthuri, walaupun Malaysia merupakan negara pertama dalam rantau Asia Pasifik meluluskan Akta Keganasan Rumahtangga 1994 yang dikuatkuasa pada tahun 1996, namun masalah besar yang dihadapi oleh mangsa adalah berkenaan proses mendapatkan  keadilan bagi mangsa.

Ini kata Setiausaha Publisiti Wanita DAP itu termasuk kes penderaan dan keganasan yang berlaku terhadap pasangan intim yang belum berkahwin.

“Saya juga ingin mencadangkan agar penderaan dan keganasan rumahtangga diantara pasangan intim yang belum kahwin seperti boyfriend dan girlfriend atau tunang, dimasukkan sekali dalam pindaan disini.

“Setakat ini, Akta Keganasan Rumahtangga tidak melindungi teman lelaki atau teman wanita ataupun tunang.

“Sudah tiba masa satu Suruhanjaya Menangani Keganasan Terhadap Wanita ditubuhkan diperingkat parlimen agar hak dan perlindungan yang terbaik diberikan kepada mangsa keganasan rumah tangga,” katanya lagi.

Bagaimanapun RUU Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 telah diluluskan tanpa sebarang pindaan dan hanya melindungi mereka yang berkahwin secara sah.