Berita

DAP mohon kerajaan pusat tangguh pelaksanaan GST untuk mangsa banjir P. Pinang

GEORGE TOWN, 15 NOV: DAP hari ini menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar menunaikan janjinya kepada kerajaan negeri Pulau Pinang selain memberikan bantuan yang sewajarnya kepada mangsa banjir di negeri itu.

Justeru itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dalam kenyataan hari ini menggesa kerajaan Persekutuan segera mengeluarkan dana RM1 bilion yang dijanjikan bagi projek tebatan banjir (TBT) di Pulau Pinang.

Selain itu, beliau turut merayu agar Najib memberikan bantuan RM500 kepada mangsa banjir di Pulau Pinang sepertimana yang telah diterima mangsa banjir di Kelantan pada Disember 2014.

“Akhir sekali saya menggesa kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai barangan (GST) buat sementara waktu ke atas Pulau Pinang sehingga akhir tahun ini,” katanya.

Ini, katanya yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Pulau Pinang, adalah bagi membantu meringankan beban rakyat Pulau Pinang khususnya mereka yang terjejas akibat bencana banjir.

“Ramai peniaga telah menjual barangan dan perkhidmatan mereka kepada mangsa banjir dengan harga kos atau diskaun,” ujarnya.

Pulau Pinang dilanda banjir besar pada 4 dan 5 November yang lepas ekoran Fenomena Fujiwara iaitu dua taufan berbeza yang dikenal pasti sebagai punca hujan berterusan.

Bagi meringankan beban mangsa banjir, Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada minggu lepas melancarkan program Hari Sukarelawan Pulau Pinang Bangkit dengan peruntukan lebih RM100 juta. – Roketkini.com