Berita

Masalah pemilikan tanah, infrastruktur selubungi masyarakat Orang Asli di Johor

Penubuhan cawangan pertama DAP di Kampung Tamok dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, Labis akan memperkukuhkan lagi perjuangan komuniti suku Jakun itu untuk mendapatkan keadilan dan kehidupan yang lebih baik.

Adun Bekok, Lim Eng Guan ketika dihubungi Roketkini berkata, ini bukanlah kali pertama DAP mendekati masyarakat Orang Asli di negeri itu.

Selain mengadakan ziarah dan program, DAP Johor juga juga turut menyuarakan dilema yang dihadapi komuniti itu dalam sidang DUN.

Katanya, antara yang dihadapi komuniti tersebut ialah melibatkan kepentingan tanah peserta Rancangan Pengumpulan Semula Orang Asli (RPS) dan masalah kemudahan infrastruktur.

“Masyarakat Orang Asli daripada tiga kampung, iaitu Kampung Kudong, Kampung Tamok dan Kampung Seri Tembayan menggesa supaya pihak Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) melakukan penyerahan tanah 8 ekar dan KDAJ generasi kedua projek RPS orang asli mukim Bekok pada tarikh yang telah dijanjikan.

“Pihak berkenaan digesa supaya mempercepatkan proses penyerahan tanah dan sentiasa mengemaskini maklumat terkini dengan peserta RPS,” katanya Eng Guan.

Ketika sidang DUN yang lalu, kerajaan negeri juga digesa untuk membekalkan sistem air paip selain menyediakan jalan masuk ke Kampung Kudong sehingga ke Kampung Selai mengalami kerosakan.

“Kita juga amat berharap agar program seperti pembangunan infrastruktur asas di perkampungan Orang Asli dan program ProDaya Orang Asli seperti yang dinyatakan dalam Bajet 2018 dapat juga dimanfaatkan oleh penduduk di sini.

“Ini termasuk layanan adil kepada penduduk kampung melalui program Johor Free Wifi”, katanya lagi.

Terlebih dahulu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menerima penyerahan borang keahlian dari 52 penduduk Orang Asli di sebuah majlis sederhana yang berlangsung di Balai Adat, Kampung Tamok. – Roketkini.com