Berita

Kerajaan pusat setuju cadangan hak air Pulau Pinang

GEORGETOWN, 31 MEI – Kerajaan negeri Pulau Pinang sebenarnya enggan menyerahkan hak air negeri kepada kerajaan pusat tetapi tidak dapat mengekalkan aset itu kerana terakluk kepada perjanjian yang dibuat oleh pimpinan negeri Barisan Nasional sebelum tahun 2008.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri pimpinannya memang tidak mahu menyerahkan aset air negeri kepada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) di bawah kerajaan pusat.

Tetapi beliau tidak mempunyai pilihan kecuali mencari jalan penyelesaian kerana kerajaan negeri di bawah pemerintahan BN dahulu telah bersetuju untuk menyerahkan hak air negeri kepada kerajaan pusat di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Atas alasan tersebut, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang berkeras supaya beberapa syarat penghijrahan aset air sedia ada diperbaiki.Pembinaan Empangan Mengkuang bernilai RM1.2 bilion dengan peningkatan kapasiti simpanan air sebanyak 3.8 kali ganda berbanding sekarang akan dilaksanakan.

“Di bawah pemerintahan kerajaan BN sebelum ini, RM1.2 bilion hanya digunakan sebagai pinjaman tanpa faedah. Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang berkeras untuk menukarkan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM1.2 bilion ini kepada geran sebagai syarat untuk meningkatkan penghijrahan aset air.

“Sebaik sahaja pembesaran empangan ini selesai, empangan tersebut akan menjadi milik tetap kerajaan negeri. Perkara ini akhirnya telah mendapat persetujuan kerajaan persekutuan,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan pertukaran kepada geran yang nyata, beliau berkata, kerajaan negeri Pakatan berjaya mengembalikan hak yang memberi manfaat kepada rakyat di Pulau Pinang.

Beliau turut membidas Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan yang bertindak secara tidak jujur dengan mengatakan bahawa kerajaan negeri perlu menjawab butiran lanjut mengenai projek pembesaran yang bernilai RM1.2 bilion itu.

Beliau menjelaskan bahawa disebabkan RM1.2 bilion itu adalah peruntukan kerajaan pusat, pihak persekutuan mempunyai hak untuk memutuskan kepada siapa peruntukan tersebut diberikan sama ada melalui sistem tender terbuka atau tidak.

Menurutnya, Teng sepatutnya memuji usaha baik kedua-dua kerajaan negeri dan pusat atas persetujuan untuk menukar RM1.2 bilion pinjaman tanpa faedah kepada geran yang nyata yang akan memberi manfaat dan kebaikan kepada penduduk Pulau Pinang.

“Saya kesal dengan Teng dan Pulau Pinang yang sekali lagi bertindak tidak bertanggungjawab dan sangat tidak profesional dengan melanggar privasi dan perjanjian sulit berkaitan perjanjian tersebut semata- mata untuk mencari publisiti murahan. Saya akan mengarahkan pejabat kerajaan negeri untuk mengemukakan pertanyaan kepada kerajaan persekutuan sama ada butiran perjanjian antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan ini telah diberikan kepada ahli politik BN yang tidak memegang sebarang jawatan rasmi,” tambahnya.

Menurut Guan Eng lagi, Teng yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN negeri lupa bahawa beliau bukan lagi memimpin kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Adakah Teng telah lupa bahawa beliau telah ditolak oleh pengundi di Pulau Tikus, sekaligus telah kalah dalam pilihan raya umum lalu? Beliau juga tidak memegang sebarang jawatan dalam Kerajaan Persekutuan. Apa hak dan atas nama siapa beliau wakili untuk membuat pengumuman yang sepatutnya hanya boleh diumumkan oleh kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri sahaja?”

Guan Eng berkata rundingan perjanjian air tersebut telah diputuskan dua bulan lalu dan sedang menunggu kelulusan daripada Kabinet.
Upacara menandatangani perjanjian akan diadakan di Putrajaya pada Khamis ini di antara Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui dan Guan Eng sendiri. – Roketkini.com