Budaya

Erah – Bahagian Akhir – Oleh Mazir Ibrahim

Cerpen

Setelah dia begitu pasti akan kegagalannya mencari wang lapan ribu ringgit, Wang San tiada jalan lain lagi selain dari mengemas segera barang-barangnya. Dia tidak mahu orang kampung Sungai Kelah melihat dia dihalau keluar oleh Azam Kundur. Dia masih ada maruah, biarlah dia melarikan diri pada malam itu juga.

Dia pasti esok Azam akan datang mencarinya di bengkel. Pada ketika itulah Erah akan memberitahu pemergiannya kerana gagal melunaskan perjanjian yang telah mereka berdua meterai.

Tentang Erah, sudah nasibnya. Wang San tidak lagi berupaya untuk membantu kedua-dua beranak ini sungguh pun jauh di lubuk hatinya, sangat-sangat menyayangi Erah. Hingga saat akhir ini pun, lidahnya kelu untuk memberitahu isi hatinya pada gadis yang disayanginya sejak dari kecil lagi.

Malah hati Wang San lebih sayu lagi kerana harus juga berpisah dengan kaum keluarga dan kampung halamannya. Dia tahu ayahnya Wang San akan terkejut dan marah dengan keadaan ini. Pasti hatinya hancur kerana dia gagal menyelesaikan tuntutan Azam Kundur.

Dia tidak begitu pasti ke mana arah tujuannya selepas ini. Dia tidak merancang pada awalnya untuk keluar dari kampung Sungai Kelah, tetapi mahu tidak mahu, kakinya harus melangkah. Perjanjian telah dibuat, dia harus mengotai apa yang telah dipersetujui itu.

Menjelang tengah malam, pakaian dan keperluannya siap dibungkus. Tiba-tiba hatinya terdetik mahu bertemu dengan Erah buat kali terakhir. Dikuatkan semangatnya berbasikal, merempuh gelap  malam untuk bertemu Erah.

Malam terakhir

“Ya, siapa tu?” kedengaran sayup suara Erah menyahut salam Wang San.

“Saya…San,” Wang San menjawab seakan berbisik, bimbang pula pada tengah-tengah malam ini kedatangannya dapat didengari oleh jiran tetangga.

Perlahan Erah membuka jendela, berkeriut bunyinya, kepalanya menjengah keluar mencari Wang San.

“Ya San, ada apa? Kenapa datang malam-malam ni?” soal Erah kebimbangan.

Wang San merapati Erah dijendela.

“Erah, malam ini, San kena keluar. San tak dapat wang baki untuk bayar pada Azam, saya gagal Erah,” jelas sekali sebutan Wang San. Matanya tepat memandang wajah Erah yang samar-samar itu.

Tiba-tiba Erah kembali menutup jendelanya. Wang San menerpa ke pintu rumah Erah apabila mendengar pintu depan dibuka. Suasana agak suram, hanya dilimpahi lampu dari ruang tamu rumah Erah.

Erah duduk ditangga memandang lesu wajah Wang San. Hatinya sedih kerana kegagalan Wang San, dia tidak mampu membantunya, hanya berserah pada takdir. Dan malam ini akan menjadi penentunya.

“Erah, San akan pergi. Awak jagalah Jam baik-baik, nanti saya kirim surat dan wang bantu Erah dan Jam,” lemah suara Wang San kepada Erah. Dia berdiri tegak mengadap Erah yang seperti sedang kebingungan itu.

Luahan hati

“Tapi Erah, San nak beritahu sesuatu pada Erah, San sayang sama Erah, sejak kita kecil lagi,” tiba-tiba terungkap kata-kata yang tidak dirancangnya itu. Wang San sendiri seakan terpegun dengan apa yang dituturkannya itu. Kata-katanya itu bukanlah berbunga-bunga seperti mahu memujuk hati Erah, semua kata-kata itu disebut secara spontan tanpa disusun-susun.

Wajah Erah tiba-tiba bertukar seakan terkejut. Dia terkedu, tidak tahu apa yang mahu dikatakan, dia tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi terhadap kata-kata Wang San, lelaki Cina yang tegak berdiri dihadapannya itu.

Dia masih sukar untuk menerima kenyataan yang Wang San akan pergi malam ini, kini ditambah pula dengan luahan isi hati Wang San padanya. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa dirinya disayangi oleh temannya sejak kecil lagi. Erah tidak tahu bagaimana mahu menghadapi saat ini.

Wang San tertunduk, matanya hanya memandang tanah. Dia merasa malu kerana menyebut suatu rahsia yang selama ini disimpan kemas dalam hatinya. Dia juga terkaku di hadapan Erah.

Tiba-tiba air mata Erah tumpah. Dengan usapan yang lemah, Erah menyapu air mata itu. Hati Wang San seperti remuk hancur kerana dia begitu pasti Erah tidak dapat menerima keadaan ini. Dia sama sekali tidak tahu bahawa air mata Erah itu tanda kegembiraan kembali berbunga di dalam hati janda beranak satu ini.

Dia tidak tahu, Erah sangat gembira kerana merasa disayangi. Dia tidak tahu bahawa Erah juga ada perasaan kepadanya sejak dia berseorangan. Semua ini tidak diketahui oleh Wang San.

Erah terus diam tanpa sepatah kata yang keluar dari mulutnya. Malam yang sunyi itu terus sunyi dan senyap. Perlahan Wang San memaling diri dan melangkah kaki untuk berlalu pergi. Langkahnya amat berat, inilah malam dan kali terakhir dia akan melihat Erah.

Selamat tinggal Erah..bisik hati Wang San tanpa menoleh lagi kebelakang.

Nota buat Wang Chu

Setibanya dia di rumah, Wang San terus masuk kebilik. Dilihat bapanya telah nyenyak tidur. Dia merasa serba salah mahu mengejutkan Wang Chu. Direnungnya muka Wang Chu, dia sangat tidak menyangka akan begini akhirnya ikatan sebuah keluarga yang amat disayanginya.

Wang San sempat menulis sepucuk surat, isinya tidak mampu dilafazkan dengan kata-kata kepada Wang Chu, bapa yang amat dikasihinya itu. Hanya tinta semangat dapat dicatat, yang diharap mampu meredakan kerisauan bapanya itu.

“Ayah, saya saya tetap anak ayah sampai bila-bila. Saya akan melihat ayah sekeluarga dari jauh, jika suatu masa kelak, mungkin kita bertemu lagi di suatu tempat yang lain. Ayah, saya telah keluar untuk mencari hidup baru. Janganlah ayah bimbang tentang saya, saya sudah dewasa dan tahu membawa diri. Hanya ini yang dapat saya terangkan” – Wang San.

Sebelum pergi Wang San sempat melihat gambar-gambar lama di dinding rumahnya. Hatinya begitu sayu melihat gambar bapanya Wang Chu dengan arwah Ahmad Jalil, rakan baik bapanya dan bapa kepada kekasih yang disayangi itu. Semua itu cukup menyedihkan.

Setibanya dia di jeti, Wang San sempat mendongak kepalanya ke atas, kelihatan langit malam begitu cerah sekali. Tidak berangin dan berombak, sesuai benar untuk dia memudik bot ke muara pantai. Dengan bot kecil inilah dia akan keluar dari kawasan kampung Sungai Kelah.

Malam-malam buta sebegini, mana mungkin ada bas atau teksi, jika dia mahu, terpaksa menaiki motosikal buruknya itu. Tetapi, dia lebih selesa dengan menaiki bot, siapa pun tidak akan terserempak dengannya.

Kejutan saat terakhir

Belum sempat dia menghidupkan enjin botnya, tiba-tiba dua lembaga tegak berdiri di atas jeti. Berderau darah Wang San melihatnya.

Perlahan-lahan dua lembaga itu mendekatinya. Malam yang samar-samar itu agak sukar untuk mengenali susuk tubuh seseorang. Berdebar dadanya ketika dirapati oleh dua lembaga.

“San…” perlahan suara lembaga itu menunjukan dirinya.

“Erah!” terjerit kecil Wang San setelah menyedari lembaga itu adalah Erah dan Jamsari.

Pantas dia memanjat kembali ke atas jeti untuk menemui dua beranak itu. Dia melihat Jamsari mengesat-ngesat matanya dalam keadaan mengantuk.

“Kenapa Erah datang? Naik apa?” soal Wang San dalam keadaan yang masih terkejut.

“Kita pergi bersama ya San,” pendek jawapan Erah.

Wang San melihat Erah menangis kesayuan. Hatinya bertukar menjadi satu perasaan yang mendebarkan.

“Apa maksud Erah?” soal Wang San mahukan kepastian. Dilihatnya Jamsari merapati dan memeluknya.

“Erah tak mahu ditinggalkan lagi, kalau benar San sayangkan Erah, kita sama-sama tinggalkan tempat ini,” jelas Erah dalam suara yang kesayuan.

“Ya, San sayangkan Erah…dan Jam,” pendek jawab Wang San sambil tangannya merangkul erat tubuh Jamsari di sisinya itu.

Malam itu memang langitnya cerah. Bintang seakan menari-nari menyambut permulaan sebuah sejarah baru. Malam itu, adalah kali terakhir orang-orang kampung Sungai Kelah melihat ketiga-tiga insan ini.

Hanya tinggal legenda

Selebihnya, hanya khabar angin yang mengatakan Erah berkahwin dengan Wang San dan menetap di suatu tempat yang tidak diketahui. Semua ini tidak dapat disahkan oleh sesiapa pun.

Kampung Sungai Kelah kembali hidup sepert biasa, bot-bot nelayan masih sibuk memunggah hasil laut. Bengkel Wang San terbiar buruk dan mereput. Rumah Erah dan Jamsari pula telah dilitupi dengan belukar tebal.

Ladang getah masih hijau merimbun. Bukit Puteri dan bukit Bulan masih gagah berdiri, sungai-sungai kecil masih mengalir jernih. Semuanya berlalu seperti tidak ada apa-apa yang pernah berlaku.

Kisah Erah dan Wang San telah menjadi legenda oleh penduduk kampuong Sungai Kelah. Legendanya diceritakan turun-temurun hingga hari ini. Erah, Jamsari dan Wang San tidak pernah ditemui lagi selepas itu. – Roketkini.com