Berita

MP DAP pulih Covid-19, zahir penghargaan kepada petugas kesihatan

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii mengumumkan bahawa beliau telah pulih daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan pulang ke rumah tidak lama lagi. 

Bagaimanapun, beliau akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan meneruskan pengasingan diri selepas keluar dari hospital selaras dengan nasihat Jabatan Kesihatan.

“Memandangkan dua ujian menunjukkan keputusan yang baik, doktor membuat keputusan membenarkan saya keluar dari hospital namun perlu terus berjaga-jaga,” katanya dalam satu kenyataan. 

Dr Kelvin disahkan positif Covid-19 pada 16 Mac lalu dan dikuarantin lebih tujuh hari di Hospital Umum Sarawak. 

Beliau yang juga Penolong Setiausaha DAP Sarawak turut menzahirkan penghargaan kepada petugas kesihatan yang merawatnya. 

“Saya berpeluang melihat sendiri sikap kemanusiaan yang terbaik apabila doktor dan jururawat serta pihak penjagaan kesihatan yang lain termasuk pencuci yang bekerja keras semata-mata mahu memastikan kami selamat, menjaga kami dan melindungi masyarakat secara keseluruhannya,” katanya. – Roketkini.com