Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Menjunjung Titah Tuanku, PM perlu nasihatkan sidang Parlimen dipanggil seawal Mac

Oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan

Majlis Presiden Pakatan Harapan menjunjung kasih ke atas DYMM Yang di-Pertuan Agong di atas pandangan yang dizahirkan hari ini bahawasanya Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri. 

Ini selaras dengan apa yang termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. 

Ini juga merupakan pendirian Pakatan Harapan serta majoriti Ahli-Ahli Parlimen, bahawa pada ketika pihak Eksekutif dan Kehakiman boleh berfungsi sewaktu darurat berkuatkuasa, 

Parlimen juga perlu terus memainkan peranan dalam memastikan urustadbir kerajaan terjaga dan proses semak imbang diteruskan. 

Oleh itu, kami akan mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen dalam memainkan peranan penting dalam Perlembagaan Malaysia, mengetengahkan isu-isu serta masalah yang dihadapi rakyat dalam usaha membendung pandemik Covid-19, serta merencana langkah-langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara. 

Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan segera menasihati Seri Paduka Baginda untuk memanggil sidang Parlimen seawal bulan Mac sepertimana diperkenan Tuanku di dalam Takwim Parlimen sebelum ini. 

Datuk Seri Anwar Ibrahim Parti Keadilan Rakyat (PKR) 

Mohamad Sabu  Parti Amanah Negara (Amanah) 

Lim Guan Eng  Parti Tindakan Demokratik (DAP)