Berita, Kenyataan Akhbar

Rakyat P. Pinang diseru beri sokongan penuh program imunisasi, daftar segara

Oleh B. Suffian

Semua rakyat Pulau Pinang diseru memberikan sokongan penuh terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, sokongan itu boleh dilakukan dengan membuat pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera serta saluran-saluran pendaftaran ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada kadar sesegera mungkin. 

“Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sebelum ini memaklumkan bahawa pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di negeri ini bakal dipecahkan kepada tiga fasa membabitkan tempoh pelaksanaan selama setahun. 

“Sasaran adalah meliputi 70 peratus iaitu 1.3 juta rakyat Pulau Pinang bagi membolehkan imuniti kelompok dibentuk. 

“Sehingga kini, JKNPP memaklumkan bahawa sebanyak 15 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah dikenal pasti membabitkan tiga (3) dewan bagi setiap daerah  di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Kon Yeow menjelaskan, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi negeri Pulau Pinang akan bermula pada 28 Februari 2021 iaitu Ahad ini. 

Sehubungan itu katanya, beliau telah dijemput untuk melancarkan program berkenaan bagi peringkat Pulau Pinang dengan diberikan suntikan dos vaksin COVID-19 pertama sebagai simbolik bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di negeri tersebut. 

Sejurus itu, tambahnya, ia bakal disusuli dengan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri II, Profesor Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Razak Jaafar; Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. Asmayani Khalib dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd. Manan pada sesi sama. – Roketkini.com